Saturday, 18 May 2019

Mangsa Nafi Ditikam Kerana Mengaji Guna Pembesar Suara

SHARE
Dr. Azman melawat untuk melihat keadaan mangsa di rumahnya.

Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 15 Mei – Imam yang dipercayai ditikam seorang lelaki ketika membaca al-Quran beberapa hari lalu, menafikan dia menggunakan pembesar suara ketika kejadian itu sepertimana berita yang ditularkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, mangsa, Mohd Amin Md Nor,38 menafikan fakta itu berikutan laporan berita yang dikeluarkan sebelum ini adalah fakta dari pihak polis berdasarkan keterangan suspek.

“Cuma nak betulkan fakta yang silap dilaporkan oleh media. Sebenarnya beliau hanya tadarus al-Quran seorang diri di Masjid selepas solat Subuh tanpa menggunakan pembesar suara. Bukan sebagaimana yang dilaporkan oleh media, baca al-Quran menggunakan pembesar suara,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi mangsa di rumah ibu mangsa di Kampung Apal, di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian kiri dada dan menerima tujuh jahitan selepas mendapat rawatan di Hospital Besut.


Dr. Azman berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Apal merupakan imam di Surau Perumahan Rantau Petronas Kerteh, Terengganu.

Tambahnya lagi, menurut mangsa ketika kejadian itu terdapat dua orang jemaah sedang berehat dalam masjid berkenaan.

"Pagi itu ustaz  (mangsa) mengimamkan solat Subuh di Masjid Apal. Masa solat memang pakai pembesar suara. Alhamdulillah, mujurlah tikaman tidak mengenai organ penting dan ustaz selamat. Urusan selanjutnya biarlah undang-undang yang menentukan,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, suspek kini direman juga didapati positif methamphetamine dan dikatakan mengaku menikam mangsa dengan menggunakan sebilah pisau.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: