Wednesday, 15 May 2019

Malaysia Didesak Tarik Balik Statut Rom Secara Rasmi

SHARE
Haji Amzad (tiga dari kanan) ketika menemui orang ramai dalam satu lawatan kerja beliau di Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (Kemaman Supply Base Sdn Bhd).

KUALA TERENGGANU, 15 Mei - Kerajaan Pusat perlu menerima desakan rakyat agar Statut Rom  ditarik balik secara rasmi kerana  ia dipercayai membawa implikasi besar terhadap negara.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Ahmad Amzad Hashim berkata, Statut Rom secara rasmi akan berkuat kuasa pada 1 Jun ini dengan nama Malaysia masih berada dalam senarai negara yang meratifikasinya.

"Saya harap Malaysia memantau dengan teliti segala aspek agar tidak berlaku kecuaian yang akhirnya terus mengikat Malaysia dengan triti (perjanjian) Statut Rom yang hanya tinggal beberapa hari sebelum tarikh kuat kuasa tersebut," katanya.

Haji Ahmad Amzad berkata demikian dalam satu kenyataan medianya, di sini hari ini.

Jelasnya, Kerajaan Pusat memaklumkan secara rasmi penarikan diri melalui surat Kementerian Luar bertarikh 29 April lalu.

"Kerajaan juga menjelaskan bahawa ia akan dimuktamadkan selepas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) melengkapkan
prosedur penarikan diri Malaysia," ujarnya.

Haji Amzad meneliti sesuatu di KSB.
Justeru katanya, rakyat Malaysia tidak akan memaafkan sesiapa pun yang telah menjerumuskan Malaysia ke dalam bahaya Statut Rom tersebut.

"Lebih-lebih lagi jika Malaysia gagal menangani penarikan diri dari ratifikasi itu dengan sempurna atau berlindung di sebalik alasan kerenah birokrasi di PBB," jelasnya.

Difahamkan Statut Rom diperdebatkan secara hangat oleh pengamal undang-undang Malaysia dan netizen di media sosial selepas Malaysia berhasrat untuk meratifikasikannya.

Statut Rom adalah satu triti (perjanjian) rasmi antara negara-negara dalam mengiktiraf Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebagai pelengkap kepada undang-undang sedia ada negara pihak (state party) untuk mendakwa individu yang melakukan jenayah antarabangsa.

Sehingga 4 Mac lalu, sebanyak 124 negara menjadi negara pihak kepada Statut Rom itu.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: