Monday, 27 May 2019

Kunjungan MB Cetus Semangat Ahli Kariah Surau Tuan Guru Haji Zainal Abidin

SHARE


Dr. Samsuri bersama sebahagian ahli kariah surau.

DUNGUN, 27 Mei – Kunjungan Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ke Surau Tuan Guru Haji Zainal Abidin, di sini, memberi semangat baharu kepada ahli kariah untuk menghidupkan pelbagai program ilmu dan ibadat.

Pengerusi surau berkenaan, Sheikh Hanafi Abdul Aziz, 41, berkata, surau itu merupakan pusat gerakan Islam pertama di Terengganu.

“Disebabkan itu, sejak dahulu hingga kini, kita cuba mengaktifkan pelbagai program dan penambahbaikan daripada binaan kayu suatu ketika dahulu sehinggalah kepada binaan yang ada hari ini.
Dr. Samsuri menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim.

“Tahun ini kita dapat adakan program berbuka puasa tahunan yang dikenali sebagai ‘Namat’ dan lebih istimewa kali ini ia dihadiri Menteri Besar sendiri memberi semangat kepada ahli kariah untuk lebih aktif melaksanakan kebajikan,” katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Berbuka Puasa di surau tersebut, semalam.

Dalam majlis berkenaan, Dr. Samsuri ditemani isteri, Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman turut menyampaikan sumbangan daripada pihak surau berupa bantuan wang tunai kepada tujuh anak yatim di kariah itu.

Selain itu, pihak Surau Tuan Guru Haji Zainal Abidin juga menyediakan bantuan barangan asas bulanan kepada sekitar 30 fakir miskin di kariah itu.
Bersama pengerusi surau, Sheikh Hanafi.
Sheikh Hanafi yang juga merupakan Pegawai Penyelidik di Pejabat Menteri Besar itu turut memaklumkan, pihaknya sedang dalam proses permohonan untuk mengangkat surau tersebut kepada taraf masjid.

“Kami berharap pihak kerajaan negeri memberikan laluan mudah untuk melaksanakan hasrat yang murni ini,” katanya.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: