Friday, 31 May 2019

Pasaraya Tutup Hari Raya Pertama Aidilfitri

SHARE

KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengarahkan semua pasaraya di daerah ini ditutup pada hari raya pertama Aidilfitri dan Aidiladha bermula tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran (MBKT), Che Wan Mohd Zulkifli Che Wan Jalil berkata,  tindakan tegas di bawah undang-undang majlis itu akan diambil jika arahan itu tidak dipatuhi termasuk tindakan membatalkan lesen.

Beliau menegaskan demikian dalam sepucuk surat yang diedarkan kepada pemilik perniagaan tersebut di seluruh daerah itu bertarikh 28 Mei lalu.

Salinan surat itu dihantar kepada Datuk Bandar, Haji Shahidan Embok, Jabatan Korporat dan Kemasyarakatan Bahagian Penguatkuasaan MBKT dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu, Mat Azmi Arshad.

Che Wan Mohd Zulkifli berkata, merujuk kepada Pekeliling Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Bil. SUK. TR. 572/344 Jilid 5 - (44) menegaskan bahawa tidak dibenarkan semua pengusaha perniagaan pasaraya menjalankan sebarang aktiviti perniagaan pada hari pertama, di kedua-dua hari raya berkenaan.

"Sehubungan dengan itu pihak Majlis memohon kerjasama daripada pihak tuan atau puan untuk memastikan supaya sebarang aktiviti perniagaan pasaraya tidak beroperasi pada hari tersebut," tegasnya.

Katanya, jika didapati pihak terbabit gagal mematuhi arahan itu, tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mereka berpandukan undang-undang yang diguna pakai di Majlis dan diikuti dengan pembatalan lesen.

"Kerjasama daripada tuan atau puan amatlah kami hargai," ujar Che Wan Mohd Zulkifli.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: