Thursday, 2 May 2019

Kerajaan Pusat Disaran Bina Pengkalan Hadapan Laut Cina Selatan

SHARE
Haji Amzad (kanan) menyertai program Jom Shopping Raya bersama Anak- Anak Yatim Gong Tok Nasek  di sebuah pusat membeli belah di Gong Kapas Kuala Terengganu semalam. 

KUALA TERENGGANU,  2 Mei -  Ancaman keselamatan ke atas perairan Malaysia di Laut Cina Selatan yang semakin bertambah saban hari telah menjadikan sebuah Pengkalan Laut Hadapan suatu keperluan bagi tujuan memperkukuhkan kehadiran penguatkuasa (presence) dan mempercepatkan respon tindakan (rapid deployment). 

Ahli Parlimen Kuala Terengganu,  Haji Ahmad Amzad Hashim berkata,  hal ini ditambah lagi dengan pencerobohan besar-besaran oleh warga asing dalam kawasan Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) negara seperti yang dibuktikan dengan tangkapan enam bot nelayan Vietnam termasuk 64 tekong dan awak-awak oleh pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melalui Kapal Maritim (KM) Pekan minggu lalu.

Menurut beliau untuk memastikan kos yang efisyen, Kerajaan Persekutuan sewajarnya bekerjasama dengan Petronas bagi membina Pengkalan Hadapan Laut secara perkongsian dan gunasama untuk agensi seperti APMM dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). 

Katanya, model pembinaan Pengkalan Laut Tun Sharifah Rodziah di Timur Sabah oleh Petronas, boleh digunakan untuk pembinaan Pengkalan Laut Cina Selatan. 

"Mengikut Laporan, unjuran Aktiviti Petronas 2019-2021, Petronas akan menyahtaraan atau "decomissioning" beberapa pelantar minyak milik mereka. 

"Adalah lebih baik jika Petronas dapat mengenalpasti pelantar yang sesuai dan mengubahsuai menjadi Pengkalan Hadapan Laut untuk menjaga keselamatan Pantai Timur Malaysia, " katanya. 

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata,  Kerajaan Persekutuan juga boleh bekerjasama dengan syarikat-syarikat pengeluar minyak yang lain untuk menambah baik aset kawalan keselamatan negara. 

"Cukuplah kejadian pencerobohan asing dalam perairan negara dan mengaut hasil mahsul negara ini berlaku secara berleluasa. 

"Langkah segera perlu dilakukan sekarang demi menjaga kedaulatan tanah tumpah negara kita ini, " tegas beliau. 

Sementara itu Haji Ahmad Amzad mengucapkan syabas dan syukur atas kejayaan KM Pekan yang sekali lagi telah berjaya menahan enam buah  bot vietnam di kedudukan 150 Batu Nautika Timur Laut Kuala Terengganu.

 Kali ini katanya, seramai 37 orang nelayan Vietnam ditahan sehari sebelum Hari Pekerja 1 Mei lalu. 

"Tahniah sekali lagi kepada APMM," katanya. 

Bagaimanapun ujarnya,  kejayaan ini tidak boleh menafikan keperluan Pengkalan Hadapan tersebut bahkan menguatkan lagi kepentingan mewujudkan 'platform' keselamatan berkenaan. 

"Tambahan lagi keselamatan pekerja pelantar minyak Malaysia   terancam ekoran kecenderungan nelayan asing, menangkap ikan berhampiran pelantar minyak. 

"Malah, ingatan kita masih segar dengan kejadian rampasan kapal tangki Orkim Harmony yang hilang dalam perairan negara pada tahun 2015 dan dijumpai di perairan Kemboja, 210 Batu Nautika daripada Pulau Redang," jelasnya. 
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: