Friday, 31 May 2019

Kerajaan Negeri Perjelas Isu Dana Raya

SHARE
Dato' A. Rahman Yahya.
KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Kerajaan negeri menjelaskan kekeliruan berkaitan isu Dana Raya yang tular di media sosial, beberapa hari kebelakangan ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya memaklumkan, sebahagian besar agihan Dana Raya sebenarnya telah diuruskan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

“Setakat ini, seramai  75,481 rakyat negeri ini terdiri daripada golongan yang layak menerima Dana Raya yang disalurkan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Cuma, kita dapat kesan  seramai 1,071 daripada mereka tidak memiliki sebarang akaun bank, jadi untuk mereka kita akan ikhtiar kaedah pembayaran berbeza dan ia memerlukan masa untuk diselesaikan,” katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), di Wisma Darul Iman, kelmarin.

Menurutnya, pembayaran dana bagi pemohon yang mengalami masalah itu akan dibuat pada minggu pertama atau kedua Aidilfitri.

Beliau turut menambah, kerajaan negeri juga telah memutuskan untuk membuka kembali permohonan Dana Raya bagi mencukupkan kuota penerima.

“Kita telah sediakan kuota bagi 80,000 penerima dan kini masih ada baki kekosongan sekitar 4,000 permohonan.

“Jadi, kerajaan negeri bersetuju untuk buka semula dan bagi rakyat yang layak serta belum memohon, boleh mendaftar segera,” katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: