Friday, 24 May 2019

Kerajaan Negeri Hargai Peranan PTD Anak Terengganu

SHARE
Dr. Samsuri beramah mesra bersama anak-anak Terengganu yang berkhidmat di luar negeri.
PUTRAJAYA, 24 Mei - Kerajaan negeri menzahirkan penghargaan kepada anak-anak Terengganu yang berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik dan bidang profesional lain atas usaha bersama-sama membangunkan negeri Terengganu.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun berada dalam jabatan dan kementerian yang berbeza, setiap orang memainkan peranan dalam pembangunan negeri.

"Dalam setiap pertemuan dan mesyuarat yang saya sertai di peringkat kebangsaan, saya sentiasa menerima reaksi positif anak-anak Terengganu.

Menteri Besar menerima cenderamata daripada PANTERA.
"Kebanggaan kita sebagai anak Terengganu haruslah diterjemahkan dalam gerak kerja kita kerana kita sama-sama berperanan dalam membangunkan negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Iftar Ramadan Kepimpinan Negeri Terengganu Bersama Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Dan Pegawai Tadbir Diplomatik Anak Terengganu (PTD) di Putrajaya International Convention Centre (PICC), di sini semalam.


Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia merangkap Pengerusi Kelab PTD Anak Terengganu (PANTERA), Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Turut hadir, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, pegawai-pegawai kanan negeri dan seluruh ahli jawatankuasa PANTERA.

Majlis tersebut diadakan bertujuan merapatkan hubungan PTD anak negeri dan kepimpinan dalam usaha merealisasikan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS).





SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: