Sunday, 26 May 2019

Kasih Ramadan Terus Menabur Bakti

SHARE


Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 26 Mei – Kasih Ramadan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) meneruskan sumbangan mereka buat musim kelima dengan membantu golongan miskin bagi menyerikan suasana Ramadan dan  meraikan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, Alias Harun turut memuji keprihatinan  NGO tersebut yang saban tahun di bulan Ramadan akan menyumbang kepada mereka yang memerlukan di DUN tersebut.

"Terima kasih kepada NGO, Kasih Ramadan yang sejak mula ditubuhkan lagi telah mengambil inisiatif mengadakan program mereka di DUN Rantau Abang setiap kali bulan Ramadan sehingga masuk musim kelima.

"Ini bermakna sudah lima tahun, mereka bersama memainkan peranan meringankan beban yang memerlukan di DUN Rantau Abang, terima kasih banyak-banyak," katanya 

Beliau berkata demikian ketika berucap majlis Penyampaian Sumbangan Kasih Ramadan Untuk Fakir Miskin  yang diadakan di Dewan Orang Ramai MPKK Burung Baru, baru-baru ini.

Seramai 50 orang penerima yang terdiri daripada mereka yang kurang berkemampuan di Unit Peti Undi(UPU) Padang Pulut menerima sumbangan berupa wang tunai, barangan dapur dan lauk pauk.

Sementara itu wakil NGO berkenaan, Rugayah Mahmood berkata, sejak Kasih Ramadan mula ditubuhkan pada 2015 di Gong Pasir, badan itu mula bergerak aktif dalam membantu golongan yang memerlukan bantuan bagi meringankan beban mereka.

" Kami menjalankan kerja-kerja kebajikan ini, kerana tangan di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah, maknanya tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima.

"Di luar sana ramai dermawan, yang sentiasa ingin membantu dan mendapat ganjaran daripada Allah, tambah lagi di bulan Ramadan yang Allah janji dengan ganjaran berlipat ganda, "ujarnya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: