Wednesday, 8 May 2019

Kakitangan WDI Tidak Jadi Berpindah Ke Bangunan Baharu

SHARE


KUALA TERENGGANU, 8 Mei- Keputusan kerajaan negeri untuk tidak memindahkan kakitangan ke Bangunan Wisma Darul Iman (WDI) yang baharu di Kampung Tanjung, dekat sini, mampu menjimatkan kos antara RM30 juta hingga RM40 juta.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata bangunan WDI setinggi 30 tingkat yang hampir 90 peratus siap itu pada awal cadangan pembinaan adalah Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) membabitkan kos pembinaan RM180 juta.

Katanya, disebabkan pertukaran Menara MBKT kepada Bangunan WDI, kos sedia ada terpaksa ditambah sehingga nilaian mencecah kos RM210 juta.

“Memandangkan nilaian itu terlalu tinggi, kerajaan negeri dengan persetujuan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) mengekalkan cadangan asal iaitu kekal kepada Menara MBKT yang dijangka siap pertengahan tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan  MMKN, di WDI, hari ini.

Dalam laporan teganukita pada 26 Disember tahun lalu, pembinaan projek bangunan Wisma Darul Iman (WDI) yang baharu di Kampung Tanjung, dekat sini, berketinggian 30 tingkat membabitkan kos RM210 juta kini lebih 80 peratus siap.


Projek di kawasan seluas 2.2 hektar dan dimulakan pada pertengahan 2017 itu, pada awalnya dijangka siap pada Mei tahun depan, bagaimanapun terpaksa dilanjutkan tempoh  sehingga Jun 2020 berikutan berdepan masalah kewangan dan beberapa teknikal.

Pada masa sama, kelewatan itu turut berpunca daripada pertukaran projek Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kepada bangunan WDI dengan persetujuan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN)  pada 24 Mei tahun lalu.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: