Friday, 31 May 2019

‘Jom Bojeng Raya’ Sedia Khidmat Gunting Rambut Kanak-Kanak Menjelang Syawal

SHARE

Oleh: Aslam Wira

MARANG, 31 Mei - Seramai 50 orang kanak-kanak mendapatkan perkhidmatan gunting rambut secara percuma dalam program “Jom Bojeng Raya” yang diadakan sempena menyambut Syawal yang bakal tiba.

Program anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Rhu Muda itu mendapat sambutan dan memberi peluang kepada anak-anak untuk mempersiapkan diri menghadapi hari raya, kurang seminggu lagi.

Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Sabri Zakaria melahirkan kegembiraan terhadap program yang diadakan.

“Saya lihat ramai kanak-kanak dan murid sekolah mengambil kesempatan untuk melibatkan diri dalam program ini sekaligus dapat mengeratkan hubungan diantara kepimpinan dan komuniti sekitar.


“Program ini boleh dijadikan contoh kepada MPKK lain. Terima kasih kepada pemilik Matyo Barber, Ahmad Fakhrul Arshad Pasaluddin serta krewnya yang berkerjasama menyumbang khidmat dan tenaga dalam program ini,” katanya ketika hadir meninjau program tersebut,di Balairaya Kampung Rhu Muda, baru-baru ini.

Turut hadir, penyelia Pusat Khidmat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng; Pengerusi MPKK Rhu Muda, Zahari Awang serta ahli-ahli jawatankuasa Pemuda PAS DUN.

Pengarah program, Shahrul Md Rani menjelaskan, program Jom Bojeng Raya mendapat suntikan sumbangan daripada individu perseorangan dan juga merupakan idea daripada penduduk kampung yang cakna.

Beliau turut juga berterima kasih kepada pemilik Matyo Barber, Ahmad Fakhrul Arshad Pasaluddin serta krewnya dalam menyumbang khidmat dan tenaga sepanjang program.


“Kami tidak berdedapan kesukaran untuk menganjurkan program ini kerana Matyo Barber pernah memberikan khidmatnya sebelum ini, malah kedainya juga turut menjadi tumpuan ramai anak-anak muda dan pelajar sekolah.”

Program berkenaan mensasarkan kanak-kanak dan murid sekolah lingkungan umur 6 - 12 tahun dari komuniti sekitar.

Sementara itu, Ahmad Fakhrul pula menjelaskan bahawa dia dan rakan-rakan sedia berkerjasama lagi dalam program seperti ini supaya boleh bersama-sama membuat kerja-kerja kebajikan sepanjang Ramadan.

“Pihak penganjur menawarkan program kepada kanak-kanak untuk meringankan beban sesetengah keluarga, kami dibayar namun khidmat ini percuma kepada mereka,” katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: