Sunday, 26 May 2019

Ingat Pesan Ustaz Azhar, Bermuzik Jangan Sampai Jadi Najis

SHARE


Oleh : Adli Mohamad

KUALA TERENGGANU, 26 Mei- Seniman jalanan atau busker, Muhammad Syahid Eiba Saari, 39,  menjadikan  pesanan pendakwah terkenal tanahair, Ustaz Azhar Idrus iaitu bermain muzik jangan sampai menjadi najis, sebagai asas  dalam mencari rezeki .

Katanya, dia berpegang teguh kepada kata-kata keramat itu sejak mula melibatkan diri dalam dunia hiburan walaupun hanya menghiburkan orang ramai di tempat-tempat terbuka dan apabila memenuhi undangan.

"Mengimbas kenangan ketika mula-mula bermain muzik,  masyarakat Terengganu sukar menerima seniman jalanan seperti kami dan  dikatakan tidak sesuai.

"Namun kita teruskan juga tanpa berputus asa, selepas itu masyarakat mula faham dengan apa yang kita bawa menjadikan 'busking' sebagai sumber mencari rezeki dengan memenuhi undangan dan jemputan, bermain di majlis-majlis tertentu dan juga di pasar malam dan sebagainya, "jelasnya yang merupakan pengasas 'busker' di negeri ini.

Dia berkata demikian, ketika ditemui pihak media, pada Program 'Car Food Sahur', di Pantai Batu Burok semalam.

Muhammad Syahid Eiba Saari

Mohammad Syahid yang  juga merupakan salah seorang urusetia 'Car Food Sahur' 5.0 berkata  muzik itu tidak salah selagi mana tidak melanggar batas syariat serta patuh kepada ajaran Islam dan jumhur ulama secara umum tidak mengharamkan muzik.

"Di Bulan Ramadan ini kita juga menghiburkan orang ramai  di tapak Car Food sahur ini dengan memainkan lagu bertemakan ketuhanan, dan diantara kami ada yang berbakat memainkan lagu nasyid dengan cara dan gaya  yang tersendiri.

"Asalkan jangan sampai melalaikan, jangan sampai masuk waktu solat kita tidak segera bersolat, sebaliknya terus sibuk bermuzik," jelasnya.

Tambahnya beliau amat mengharapkan agar kerajaan negeri menyokong pemuzik sepertinya untuk terus memanfaatkan bakat seni yang ada untuk dijadikan sumber mencari rezeki, disamping turut sama-sama memeriahkan negeri Terengganu ke arah menarik kehadiran pelancong.

Barisan peserta 'Car Food Sahur' 5.0

Jelasnya lagi, Terengganu mempunyai ramai anak muda berbakat besar yang berminat untuk bergiat menjadi pemuzik sepertinya.

"Kita mengharapkan agar kerajaan negeri beri ruang dan galakkan dan di pihak kami sendiri  akan cuba mematuhi etika pemakaian yang dikeluarkan melalui Majlis Agama dan akan memastikan tidak ada perkara yang bertentangan dengan agama termasuk memilih lagu yang bersesuaian yang boleh diterima masyarakat dalam meraikan hiburan.

"Kami juga akan pastikan tiada unsur-unsur menghasut serta yang boleh menimbulkan imej yang negatif kepada kerajaan negeri," ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: