Thursday, 16 May 2019

Hubungan Media Dengan Kerajaan Terengganu Terus Erat

SHARE
Ustaz Mohd Nor (tiga dari kiri) melayan mesra pengamal media di Permai Hotel malam ini.
KUALA TERENGGANU, 16 Mei - Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan terima kasih kepada media kerana memberi kerjasama yang baik sepanjang beliau memimpin negeri  Terengganu.

Beliau juga berharap agar hubungan kerjasama dan ikatan mesra antara kepimpinan kerajaan negeri dengan media terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Hasrat Dr Ahmad Samsuri itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengamal Media 2019 anjuran Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Permai Hotel, di sini hari ini.


Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ustaz Ahmad Shah Muhamed.

Ustaz Mohd Nor berkata, kerajaan negeri memberi ruang seluas-luasnya kepada rakan media untuk memberi pandangan dan kritikan bagi memperkasakan segala saluran maklumat kerajaan negeri kepada rakyat.

"Walaupun pada petang ini kita tidak sempat berdialog, di lain masa kita boleh susun program dialog secara khusus untuk kita dengar apa sahaja aduan, pandangan dan pendapat dari rakan-rakan media," jelasnya.


Katanya, kerajaan negeri hari ini sudah menjangkau usia setahun dan pencapaian kerajaan dalam tempoh itu sudah disebarkan dalam media-media tertentu.

"Ini supaya rakyat dapat melihat pencapaian kerajaan dan saya mohon rakan-rakan media dapat salurkan maklumat ini kepada seluruh rakyat negeri Terengganu serta netizen melalui media baharu," katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: