Friday, 10 May 2019

Hotel Permai Dan Primula Terengganu Semarakkan Jom Jengoh Sahur

SHARE

KUALA TERENGGANU, 10 Mei - Pertubuhan Karyawan Kreatif Terengganu (Karyawan) dengan kerjasama Hotel Permai dan Hotel Primula meneruskan tradisi tahunan dalam menyantuni golongan yang kurang berkemampuan termasuk petugas di jabatan kerajaan yang bersengkang mata berkhidmat pada waktu malam hingga pagi.

Timbalan Presiden Karyawan, Nur Fazlizai Ali berkata, program yang memasuki tahun ketiga itu sebagai tanda kecaknaan dan memberi keceriaan kepada golongan yang memerlukan perhatian dan keprihatinan masyarakat sekeliling termasuk dari badan bukan kerajaan.

Nur Fazlizai Ali
Katanya, ia merupakan inisiatif pengamal media yang sebelum ini sentiasa menulis berita tentang kesusahan orang ramai tetapi dengan kehadiran Ramadan, pihak media mengambil peluang turun padang untuk membantu mereka dalam bentuk sumbangan bagi meringankan beban golongan ini.

"Tahun ini kita perluaskan program ini dengan singgah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi program Food Bank, Angkatan Pertahanan Awam (APM), petugas Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Angkatan Pertahanan Maritim Malaysia (APMM) serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri yang bertugas demi menjaga keamanan serta kesejahteraan awam.

"Hotel Permai  bersama Hotel Primula menyediakan sebanyak 200 pek juadah sahur berupa nasi untuk diagihkan dan hubungan kerjasama ini tidak akan terhenti di sini malah akan diteruskan dengan program-program lain," katanya selepas menyampaikan juadah sahur kepada anggota JBPM di Kuala Terengganu, semalam.

Noralizan menyampaikan sumbangan berupa pek makanan sahur kepada kakitangan IPD yang sedang bertugas.
Program yang bermula 10 malam hingga 2 pagi itu turut disertai  Pengurus Besar Hotel Permai, Noralizan Abd Rahman dan Pengurus Besar Hotel Primula, Suaibah Harun serta lebih 50 orang petugas hotel dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Karyawan.

Sementara itu, Noralizan berkata, kolaborasi bersama Karyawan pada kali kedua ini dapat mengeratkan silaturahim selain pada pada masa yang sama mampu membantu golongan yang memerlukan.


"Tahun lepas sasaran kami kecil dan tahun ini dengan gabungan bersama Hotel Primula buat kali pertama menjadikan sasaran kami lebih besar.

"Pihak kami bersedia berkolaborasi dengan mana-mana pihak yang ingin melakukan kerja amal kerana bagi saya, dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain dan tidak salah untuk berkongsi," ujarnya.

Beliau turut mengalu-alukan mana-mana hotel terutama anak syarikat kerajaan negeri untuk berkolaborasi untuk program-program seperti ini.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: