Saturday, 4 May 2019

Hargai Sumbangan Guru, 57 Buah Sekolah Dirai - Alias Harun

SHARE

Oleh: Nooreni Abu Bakar 

DUNGUN, 4 Mei - Sempena Hari Guru yang disambut kelmarin, sebanyak 57 sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang diraikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun.

Sekolah-sekolah tersebut terdiri daripada Sekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah Kebangsaan, Tadika KEMAS, Perpaduan dan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) serta Sekolah Rendah Bersepadu.

"Terima kasih kepada petugas-petugas yang turun membantu mengedarkan pulut kuning ke sekolah-sekolah, tadika dan PASTI yang kita kunjungi.


"Iaitu dari Ahli Majlis Perbandaran Dungun, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dan orang perseorangan," ujarnya semasa sesi taklimat.

Terdahulu, masing-masing dibahagikan kepada sembilan kumpulan dan beredar ke seluruh DUN tersebut di Surau Kubur Gong Pasir.

Alias yang mengetuai rombongan ke sekolah-sekolah dan tadika di Unit Peti Undi (UPU) Kuala Abang turut dijemput menyampaikan ucapan ketika berkunjung ke Sekolah Menengah Agama Kuala Abang dalam Majlis Sambutan Hari Guru yang diadakan di dewan sekolah itu.

"Saya mengharapkan anak-anak yang berada di hadapan saya ini menjadi pemimpin, kita nak lahir pemimpin yang cemerlang dalam al-Quran.

"Kalau akauntan, akauntan yang faham al-Quran, kalau jadi jurutera, doktor, arkitek dan sebagainya adalah yang faham al-Quran. Lebih-lebih lagi, kalau terjun dalam bidang keagamaan," tegasnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: