Thursday, 30 May 2019

Golden Pharos Bhd Untung RM0.30 Juta Dalam Suku Pertama 2019

SHARE
Dato’ Nadza Abdul
KUALA TERENGGANU, 30 Mei -  Golden Pharos Bhd (GPB) mencatatkan prestasi positif dalam suku pertama berakhir 31 Mac 2019 (1Q2019) dengan memperoleh keuntungan sebelum cukai sebanyak RM0.30 juta.

Keuntungan ini merupakan keuntungan kelapan sejak suku ketiga 2017 selepas GPB berjaya keluar daripada kerugian yang dialaminya selama beberapa tahun.

Syarikat pembalakan itu pada Selasa lalu turut merekodkan pendapatan syarikat berjumlah RM15.65 juta dalam tempoh yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Nadza Abdul, berkata keuntungan dalam 1Q2019 berjumlah RM0.30 juta itu menunjukkan sedikit peningkatan berbanding dengan suku sebelumnya (4Q2018) iaitu RM0.17 juta.

“Pada masa hadapan, kumpulan ini mensasarkan untuk mendapat keputusan yang lebih baik dalam suku berikutnya dengan peningkatan pengeluaran balak selepas ini.

“Dalam tempoh suku pertama tahun ini sendiri, sebanyak enam lesen pembalakan telah diluluskan di mana ia sudah pasti akan memberi faedah kepada operasi syarikat dalam suku kedua tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.

GPB, melalui anak syarikatnya Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Trengganu Sdn Bhd, kebiasaannya hanya menerima tujuh hingga lapan kelulusan bagi lesen pembalakan dalam setahun.

Menurut Nadza, keadaan cuaca yang bertambah baik akan terus memberi kelebihan kepada syarikat untuk mencatatkan prestasi yang lebih baik di masa hadapan.

Beliau turut berkata, produk venir keluaran anak syarikatnya, Permint Plywood Sdn Bhd, akan turut memberi kelebihan kepada pendapatan kumpulan apabila ia berjaya memasuki Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA) dengan Gimzan Plywood Sdn Bhd untuk meningkatkan kapasiti produk.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: