Saturday, 18 May 2019

Fun Ride Sahur, Beriadah Sambil Beramal - Mohd Nor Hamzah

SHARE

'Fun Ride Sahur' yang bermula selepas tarawih.
MARANG, 18 Mei - 'Fun Ride Sahur' yang julung-julung kalinya diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong berjaya menarik golongan muda untuk beriadah sambil beramal.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, program santai itu adalah inisiatif terbaharu pihaknya dalam menggalakkan anak muda melakukan aktiviti berfaedah.

Jelasnya, dalam aktiviti berbasikal itu, acara penyampaian sumbangan untuk fakir miskin di sekitar Kampung Paya Resak turut dijalankan bagi meringankan beban mereka dan secara tidak langsung berjaya mendekatkan diri antara pihak pentadbiran dan rakyat.

“Program-program seumpama ini boleh diteruskan pada masa-masa akan datang untuk menarik anak muda agar mereka terus menghidupkan malam Ramadan dengan beriadah (selain ibadah tarawih dan tadarus) supaya tidak terjebak dengan gejala yang tidak sihat.

“Program ini juga memberikan manfaat kepada 10 orang fakir miskin di Kampung Paya Resak yang menerima sumbangan dan merapatkan hubungan sesama kami,” ujarnya.

Mohd Nor Hamzah.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengagihkan bantuan untuk fakir miskin di Balai Raya Paya Resak, di sini semalam.

Turut hadir dalam Program ‘Fun Ride’ Sahur itu ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri, Dato' Tengku Farouk Hussain Tengku Abdul JalilPegawai Daerah marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak serta Ahli Jawatankuasa (AJK) Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Paya Resak.

Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong turut menaruh harapan agar program seumpama itu dijalankan di kawasan-kawasan lain.

“Saya dimaklumkan bahawa program ‘Fun Ride Sahur’ ini akan diperluaskan di setiap DUN, saya mengalu-alukan untuk diadakan program ini di setiap DUN,” tambah beliau.

Aktiviti yang dianjurkan oleh Pejabat Daerah Marang serta Pejabat DUN itu melalui jarak sepanjang 13km dan menjadikan Balai Raya Paya Resak sebagai tempat persinggahan untuk acara penyampaian sumbangan.

Program yang bermula pada 10.30 malam itu berjaya menghimpunkan lebih 100 peserta termasuk daripada kakitangan pejabat daerah dan ia berakhir sekitar jam 12.00 malam.

Sumbangan yang diagih kepada 10 fakir miskin.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: