Sunday, 26 May 2019

EPIC Belanja RM500 Ribu Tahun Ini

SHARE
Tuan Faizah (tengah) meraikan anak-anak yatim di sebuah pasaraya pakaian di Kuala Nerus hari ini.


KUALA NERUS, 26 Mei - Sebuah anak syarikat kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) telah membelanjakan kira-kira RM500,000 untuk aktiviti tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) tahun ini.

Daripada jumlah itu sebanyak lebih RM400,000 dibelanjakan untuk pelbagai tujuan di Kemaman manakala lebih RM40,000 pula dibelanjakan untuk 135 pelajar sebuah sekolah tahfiz anak yatim bagi membeli baju raya di sebuah pasar raya pakaian terkenal, di sini, hari ini.

Pengurus Besar (Perancangan Korporat, Komunikasi, Pembangunan dan Projek Khas) Abdul Adzim Abdul Hamid berkata, setiap tahun EPIC akan mengambil sebuah madrasah tahfiz dari daerah Kuala Terengganu untuk diberi sumbangan pakaian hari raya Aidilfitri kepada pelajarnya.
Abdul Adzim

Menurut beliau minggu lepas EPIC memberi sumbangan berkenaan kepada anak-anak yatim di daerah Kemaman.

Katanya, kedua-dua daerah ini adalah pusat EPIC beroperasi dan melaksanakan aktiviti  CSR sempana ketibaan bulan Ramadan.

Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada pemberita di Program Jalinan Kasih Bersempena Ramadan Bersama EPIC di sini hari ini.

Isteri Menteri Besar, Tuan Faizah Tuan Abd Rahman hadir menyampaikan sumbangan berupa pakaian hari raya kepada pelajar berkenaan.
Tuan Faizah (tengah) bertanya sesuatu kepada pelajar tahfiz selepas menerima pakaian hari raya Aidilfitri di Kuala Nerus hari ini. 

Abdul Adzim seterusnya berkata, di Kemaman, EPIC telah berbelanja kira-kira RM60,000 untuk tujuan tersebut dengan melibatkan lebih 300 pelajar tahfiz sementara di Kuala Terengganu melibatkan 135 pelajar dengan peruntukan berjumlah lebih RM40,000.

Katanya, EPIC telah mengadakan program seumpama itu  sejak enam tahun lalu bagi membantu mereka yang tidak berkemampuan.

EPIC katanya, menyediakan beberapa peruntukan untuk pendidikan, kemiskinan, sukan dan rekreasi bagi menunaikan tanggungjawab korporatnya setiap tahun.

"Peruntukan yang disediakan itu bergantung kepada prestasi kewangan semasa syarikat dan tidak menumpukan kepada sesuatu perkara sahaja untuk aktiviti CSR," jelasnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: