Friday, 31 May 2019

DUN Jerteh Agih 600 Pek Bubur Lambuk

SHARE
Bubur lambuk diagihkan kepada pengguna jalan raya.
Oleh: Muhd Afiq Zohir

BESUT, 31 Mei - Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh tidak ketinggalan mengagihkan bubur lambuk sebagai sebahagian juadah berbuka puasa di Kampung Seberang Jerteh, kelmarin.

Pegawai Penyelarasnya, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, dalam program yang bermula sekitar jam tiga petang, sebanyak 600 pek bubur lambuk diagihkan kepada pengguna jalan raya di kampung berkenaan.

Menurutnya, agihan bubur lambuk diadakan bagi mengeratkan hubungan antara pejabat penyelaras dan masyarakat.
 
Wan Azhar turut serta agih bubur.
“Program ini merupakan sebahagian program pihak Pejabat Penyelaras DUN Jerteh yang sentiasa mengambil kira hal ehwal masyarakat setempat bersempena Ramadan tahun ini.

“Secara tidak langsung, agihan sebegini juga dapat menyantuni mereka yang kurang berkemampuan untuk merasai sajian ‘wajib’ Ramadan ini,” katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), di lokasi program.

Beliau turut berharap dengan aktiviti sebegini dapat melahirkan satu persekitaran yang sihat terutama dalam kalangan masyarakat setempat.

“Di bulan yang mulia ini, kita digalakkan untuk sama-sama memperbanyakkan amal selain mengeratkan persaudaraan sesama Muslim, agar tidak kerugian di akhirat kelak,” katanya.









SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: