Wednesday, 29 May 2019

Drawbridge Sudah Sedia Untuk Beroperasi - MB Terengganu

SHARE
Ahmad Samsuri (dua dari kanan) diberi taklimat operasi 'drawbridge'.
KUALA TERENGGANU, 29 Mei - Jambatan angkat yang dijadualkan beroperasi pada 2 Jun nanti sudah berada pada tahap terbaik untuk digunakan.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, hasil tinjauan itu, beliau yakin segala persiapan kini sudah memasuki fasa terakhir dan akan beroperasi mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Jelasnya, jambatan dan kawasan persekitaran itu pasti akan menjadi ikon pelancongan baharu kepada negeri Terengganu.

"Melihat kepada keseluruhannya dan daripada segenap aspek, saya merasa amat berpuas hati dengan persiapan jambatan ini sebelum dibuka nanti.

"Kita berharap ia akan menjana dan membuka banyak peluang serta manfaat kepada seluruh rakyat Terengganu," ujarnya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan terakhir di jambatan itu, di sini semalam.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Zainal Abidin Mohamed.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri memaklumkan, maklumat penuh perjalanan serta waktu 'drawbridge' mula dibuka akan diumumkan dalam masa terdekat.

Beliau juga memberi peringatan kepada semua pengguna agar tidak melanggar garis panduan penggunaan jambatan itu apabila dilaksanakan Ahad depan.

"Kita akan maklum balik sebelum jambatan ini beroperasi nanti, daripada segi perjalanan dan larangan semasa melalui jambatan ini.

"Sekarang ini kita masih lagi dalam tempoh percubaan, untuk menyelidik beberapa kelemahan termasuk aspek keselamatan yang akan kita baiki, jadi mohon jasa baik pengguna supaya mematuhi segala arahan," tambah beliau.

Sebelum ini, Ahmad Samsuri memberitahu, jambatan angkat yang terpanjang di Asia itu akan beroperasi pada Aidilfitri ini sehingga 17 Jun.

Tempoh percubaan selama 16 hari itu secara tidak langsung akan mengurangkan kesesakan lalu lintas pada Aidilfitri nanti.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: