Thursday, 30 May 2019

Drawbridge Dibuka 7 Pagi Ahad Depan - MB Terengganu

SHARE




KUALA TERENGGANU, 30 Mei - Jambatan angkat atau ‘drawbridge’ yang menjadi mercu tanda baharu Terengganu, akan mula dibuka kepada orang ramai untuk tempoh percubaan pada pukul 7 pagi Ahad depan.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tempoh pengujian prestasi dan pentauliahan jalan yang berakhir pada 17 Jun itu akan memberi perincian penuh tentang pergerakkan trafik.

"Pembukaan jambatan ini adalah untuk pentauliahan dan pengujian prestasi jalan dari sudut koordinasi sistem 'signalling' jalan di jambatan dengan sistem trafik di kawasan sekitarnya, dan koordinasi sistem penyuraian trafik.

"Ujian dijalankan pada tarikh ini adalah kerana ia adalah waktu puncak yang akan memberi gambaran sebenar penyuraian trafik apabila projek ini siap sepenuhnya sekaligus memberi keselesaan sempena musim perayaan Aidilfitri," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan akhbar di Facebook rasminya, hari ini.

Ahmad Samsuri turut memberi peringatan kepada semua pengguna supaya mematuhi setiap arahan dan garis panduan yang dikeluarkan.

"Semua jenis kenderaan beroda dibenarkan menggunakan jambatan ini. Namun, kenderaan tidak dibenarkan berhenti.

"Pengguna tidak dibenarkan bersiar-siar atau berjalan kaki di atas jambatan ini kerana secara teknikal, jambatan ini masih dianggap sebagai kawasan pembinaan," ujarnya.

Tambah beliau lagi, Pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan syarikat operator pengurusan jambatan itu akan memantau aliran lalu lintas dan keselamatan pengguna sepanjang tempoh percubaan.

"Setelah tamat pengujian sistem  pada 17 Jun 2019, jambatan ini akan ditutup semula kepada laluan trafik bagi pentauliahan komponen lain di dalam projek ini.

"Tarikh pembukaan rasmi jambatan angkat ini akan dimaklumkan semula setelah semua kerja dan pentauliahan semua komponen projek diselesaikan," tambah beliau lagi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: