Wednesday, 29 May 2019

Berita Gembira, Masjid Baru Bukit Tanah Jabi Bakal Dibina

SHARE


Oleh: Hidayah Azlin
SETIU, 29 Mei - Berita gembira untuk penduduk Kampung Bukit Tanah, di sini kerana mereka bakal mendapat masjid baharu memandangkan masjid sedia ada agak uzur dan kecil serta tidak mampu menampung kehadiran ramai jemaah khususnya di waktu solat hari raya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, dengan kelulusan dari kerajaan negeri, masjid itu akan dibina segera untuk memberi keselesaan kepada jemaah kampung tersebut untuk menjalankan sebarang aktiviti bermanfaat.

Katanya, Bukit Tanah merupakan kampung paling besar berbanding 37 kampung lain di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi yang mempunyai 330 buah rumah, sudah tentu memerlukan masjid yang agak selesa untuk tujuan itu.

“Kita sedang berusaha agar kerja pembinaan masjid baharu boleh disegerakan. Kerajaan negeri telah memberi kelulusan untuk pembinaan masjid di kampung kita. Sekarang berada di peringkat teknikal,” katanya menerusi status Facebook rasmi beliau, semalam.

Dr. Azman berkata, masjid kampung berkenaan dipercayai dibina pada zaman Menteri Besar, Tan Sri Ibrahim Fikri antara November 1961 dan September 1970.

“Saya pun tidak ingat bila dibina secara tepat. Alhamdulillah, akhirnya kita berada dalam perjalanan untuk menikmati kemudahan sebuah masjid baharu,” katanya.

Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi memohon maaf kepada perantau dari Kampung Bukit Tanah yang balik beraya tidak lama lagi kerana solat sunat Aidilfitri tahun ini masih lagi dilaksanakan di masjid berkenaan sebelum dinaik taraf tidak lama lagi.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: