Thursday, 30 May 2019

Bantuan JKM Bukti Kerajaan Tidak Pinggirkan Yang Layak

SHARE

MARANG, 30 Mei - Aktiviti turun padang  bagi menyampaikan bantuan dari rumah ke rumah kepada mereka yang layak menerimanya seharusnya dipraktikkan dan menjadi amalan berterusan setiap pemimpin masyarakat di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Mohd. Nor Hamzah berkata, ramai masyarakat negeri ini menumpukan kepada dana raya yang merupakan satu daripada bantuan kerajaan sehingga terlupa bantuan lain yang ada.

Katanya, program turun padang bersama JKM kali ini sebagai satu gambaran kerajaan negeri telah meluluskan bantuan kepada yang berkelayakan di DUN Bukit Payung bermula bulan ini.

"Hari ini saya dan pegawai JKM turun sendiri ke rumah penerima-penerima untuk menceriakan mereka yang uzur, miskin dan seumpamanya menghadapi hari raya nanti dengan pendahuluan tunai yang mana untuk bulan seterusnya akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing.

"Ini sebahagian sumbangan daripada kerajaan negeri melalui JKM dan kita masih buat pemutihan dan penambahbaikan terhadap golongan yang baharu dan berkelayakan untuk diluluskan,"ujarnya.


Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman(UPDI) selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Am JKM Marang di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pegawai JKM Marang, Sopi Mohammad.

Seramai tujuh penerima menerima bantuan bulanan pada kali pertama berjumlah RM200 dan RM300 setiap seorang secara tunai.

Sementara itu, mengulas mengenai status penerima yang dipotong bantuan atau didapati sudah tidak layak menerima bantuan bulanan, ia bergantung kepada situasi semasa penerima berkenaan.

"Pada sudut asas bantuan JKM bukan hak milik asas seseorang kerana ada yang miskin dan kemudian berubah menjadi senang maka dia tidak layak lagi terima bantuan tersebut kerana pendapatan sudah melebihi syarat yang dikehendaki.

"Ada juga yang dahulu dapat sumbangan kerana sakit tetapi sudah sembuh maka hak untuk terima bantuan tidak lagi berkekalan,"ujarnya lagi.

Tambah Mohd Nor, namun demikian sekiranya  ada di antara mereka yang perlu kepada bantuan ini seperti biasa, permohonan semula boleh dibuat dan pihaknya akan membincangkan perkara itu dalam mesyuarat yang diadakan secara berterusan.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: