Monday, 6 May 2019

Bandar AMBS Dilanda Ribut Menjelang Ramadan

SHARE


Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 6 Mei – Beberapa kawasan di Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) dilanda ribut kencang petang semalam sehingga menyebabkan kerosakan harta benda penduduk.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, kejadian angin ribut yang bertiup kencang itu juga turut menjejaskan persiapan peniaga bazar Ramadan.

“Kejadian  yang berlaku menjadi ujian buat penduduk AMBS menjelang Ramadan apabila atap 14 buah rumah penduduk di Taman Mulia diterbangkan angin.

"Dalam kejadian yang berlaku selepas waktu Asar itu juga merosakkan atap sebuah surau serta merobohkan sebuah garaj kereta milik penduduk.

"Sementara, kanopi yang dipasang peniaga sehari lebih awal untuk persiapan menjalankan perniagaan di Bazar Ramadan di pusat bandar AMBS turut diterbangkan angin," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika kepada pemberita bagi mengulas kejadian ribut berkenaan di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi, hari ini.

Menurut Ghazali, jumlah kerugian mangsa masih lagi belum dikenalpasti.

Katanya, beliau telah mengarahkan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Mulia untuk mengumpulkan segala data dan maklumat penduduk sebelum diserahkan kepada jabatan atau agensi yang berkaitan untuk tindakan lanjut.

“Gotong-royong juga akan diadakan untuk membersihkan kediaman mangsa dan diharapkan penduduk yang terlibat dengan ujian dariNya dapat melalui bulan mulia ini dengan penuh kesabaran,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: