Wednesday, 29 May 2019

‘Awasi Haiwan Ternakan Masing-Masing’ – MB Terengganu

SHARE





KUALA TERENGGANU, 29 Mei – Pemilik haiwan ternakan seperti lembu, kerbau dan kambing dinasihatkan agar menjaga dan mengawasi ternakan masing-masing bagi mengelakkan berlakunya kemalangan jalan raya terutamanya menjelang Aidilfitri nanti.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, haiwan yang tidak dipantau dengan rapi boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya dan mengakibatkan kemalangan serius dan maut sepertimana dicatatkan sebelum ini.

Jelasnya, keadaan itu menyebabkan suasana hari raya yang sepatutnya disambut dengan gembira bertukar menjadi sebaliknya sekiranya perkara itu terus dibiarkan.

“Kepada penduduk-penduduk tempatan sepanjang laluan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan (semua jalan raya) ini supaya menjaga haiwan peliharaan masing-masing.

“Supaya haiwan ini tidak berkeliaran sehingga menjadi mangsa kemalangan dan tentulah pemilik juga sedih dengan kehilangan haiwan ternakan dan apa jua yang terjadi, apa yang pasti sudah tentu ia juga membahayakan pengguna jalanraya,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melakukan tinjauan persiapan ‘drawbridge’ menjelang pembukaannya pada Ahad depan, di sini semalam.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 tahun lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pemilik haiwan yang membiarkan ternakan mereka berkeliaran tanpa pengawasan di jalan raya atau tempat awam berdepan kompaun sebanyak RM250.

Katanya, ternakan yang tidak dituntut juga akan dilelong secara terbuka sekiranya melepasi tempoh antara tujuh hingga 14 hari selepas ditangkap.

“Pemilik yang mengabaikan ternakan mereka bukan sahaja dikompaun malah turut dikenakan kos tebus serta caj tambahan sebanyak RM10 (seekor haiwan) setiap hari.

“Masalah haiwan ternakan dibiarkan berkeliaran bukanlah perkara baharu namun ia berlaku secara berterusan berikutan sikap sesetengah individu yang tidak mematuhi peraturan,” jelasnya.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: