Saturday, 4 May 2019

Angkara 'Mat Dadah', Adik Syakirin Jadi Mangsa

SHARE

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 3 Mei- Dalam kerancakan program Jualan Mahabbah DUN Bukit Besi, seorang pelajar, Mohd Nor Syakirin Roslan, 12, menerima nasib malang apabila dikatakan cedera selepas terjatuh dan tertusuk jarum dipercayai digunakan penagih dadah berhampiran Dewan Sivik Felda Jerangau, semalam.

Ibu Syakirin, Rohani Mohamad, 45, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi sebaik sahaja selesai membeli barangan keperluan menjelang puasa yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Bukit Besi.

"Dia nak menolong saya angkat barang, namun ketika ingin angkat barang, kakinya tergelincir ke longkang dan mengadu sakit, dan saya terkejut apabila melihat kakinya terkena picagari yang bengkok.

"Saya percaya ia digunakan untuk aktiviti penyalahgunaan dadah. Bimbang keselamatannya saya terus membawanya ke Klinik Kesihatan Felda Jerangau," ujarnya.

Rohani berkata demikian ditemui pihak media Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), di Klinik Kesihatan Felda Jerangau, hari ini.

Menurutnya, dia amat bimbang dengan keadaan Syakirin yang bakal menghidapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini.

"Doktor memaklumkan anak saya perlu menjalani rawatan setiap enam bulan dan sekarang perlu dibawa ke Hospital Besar Hulu Terengganu untuk membuat pemeriksaan lanjutan.

"Doktor Klinik Kesihatan Felda memaklumkan untuk menghidapi HIV risikonya rendah, namun untuk mendapat penyakit Hepatitis A atau Hepatitis B berkemungkinan 40 peratus, namun saya mendoakan agar anak saya berada dalam keadaan baik supaya dia dapat meneruskan kehidupan yang baik. Tidak sangka akan jadi sebegini, angkara orang lain, anak saya jadi mangsa," katanya.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata beliau begitu kesal memandangkan dewan sivik sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk melakukan segala kegiatan komuniti dan aktiviti masyarakat, menjadi tempat aktiviti jenayah dan tidak bermoral sedemikian.

"Penagih dadah ini dia hilang pertimbangan dan tanggungjawab, bukan hanya sekadar diri sendiri  sehingga tidak berfikir panjang akibat perbuatan mereka, yang dipercayai membuang picagari sesuka hati.

" InsyaAllah dari apa yang berlaku ini kita akan ambil tindakan segera di mana pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Felda Jerangau akan menumpukan kerja membersihkan kawasan dewan ini supaya gejala penyalahgunaan dadah tidak berlaku di persekitaran dewan serta selamat digunakan untuk kegiatan orang ramai," jelasnya.

Di samping itu, beliau juga memaklumkan akan mempergiatkan aktiviti dan promosi kesedaran terhadap penyalahgunaan dadah.

"Usaha itu bertujuan agar generasi remaja yang berada di DUN Bukit Besi tidak akan terjebak dengan gejala tidak sihat.

"Di samping itu, kita akan kerap melakukan aktiviti yang bermanfaat supaya setiap amalan kehidupan sihat akan dapat dibudayakan,"jelasnya.

Tambah beliau, remaja harus sedar dan faham akan kesan penyalahgunaan dadah kerana bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri, bahkan orang awam yang tidak bersalah turut menjadi mangsa.

"Jauhi dadah, musuh kepada bangsa, agama dan negara, amalkan kehidupan sihat kerana natijahnya memusnahkan kebahagiaan dan kesejahteraan sepanjang hayat," tegasnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: