Sunday, 26 May 2019

Aidilfitri Lebih Bermakna Buat 140 Anak Yatim

SHARE
Mohd Nor Hamzah meraikan anak-anak yatim.
MARANG, 26 Mei - Sambutan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna buat 140 anak yatim di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payung yang hidup serba kekurangan apabila menerima sumbangan wang tunai.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, bantuan khas itu akan memberi keceriaan kepada mereka yang kehilangan orang tersayang sempena menyambut lebaran ini.

Ujarnya, peruntukan sebanyak RM21,000 dibelanjakan kepada mereka sebagai persiapan menghadapi musim perayaan nanti walaupun harga sebuah kasih sayang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit.

"Kita tengok ada keperluan untuk anak-anak yatim yang perlu kita tunaikan, maka kita adakan program hari ini.

"Anak yatim kita utamakan yang miskin, sebab ada juga anak yatim yang kaya, bantuan ini kita berikan kepada anak yatim yang susah, kita harap dengan ini dapat memberi keceriaan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sumbangan Kepada Anak-Anak Yatim DUN Bukit Payong, di Dewan Sivik Atas Tol, di sini, kelmarin.


Hadir sama, Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat Khidmat dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di DUN Bukit Payong.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong turut menyarankan kepada golongan miskin dan anak-anak yatim yang tercicir dalam senarai penerima agar membuat semakan dan permohonan dengan mana-mana badan terlibat.

Katanya lagi, pihak DUN akan terus mengadakan program kebajikan dalam bulan ini, termasuk program Sinar Ramadan yang akan diadakan pada 31 Mei nanti.

"Mana-mana yang tertinggal (tercicir) insyaAllah akan diuruskan oleh Pusat Khidmat dan pemuda PAS DUN serta kawasan, daripada sana kita akan pilih dan berikan sumbangan dalam majlis akan datang," tambah beliau.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: