Monday, 27 May 2019

834 Orang Terima Sumbangan Raya

SHARE


Oleh: Amiirullah Mansor

DUNGUN, 27 Mei - Seramai 834 golongan kurang bernasib baik terdiri daripada anak yatim, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal serta fakir miskin di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka menerima sumbangan hari raya di Dewan Sekolah Menengah Paka, di sini, kelmarin.

Sumbangan daripada Markaz Ehsan, Darul Aitam dan Syarikat CJ Bio itu turut diberikan kepada guru Pasti di kawasan berkenaan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat.

Satiful yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata, majlis sumbangan Aidilftri 2019 yang dianjurkan itu bertujuan meringankan bebanan mereka yang memerlukan untuk membeli kelengkapan pakaian dan makanan sempena sambutan lebaran yang bakal tiba.


"Terima kasih kepada semua pihak yang telah mengambil peranan dan inisiatif secara tidak langsung bagi membantu golongan ini.

“Program ini bukan bermula pada tahun ini, tetapi ia telah bermula sekian lama sejak berbelas tahun Markaz Ehsan Paka diwujudkan dan enam tahun Darul Aitam dibangunkan," ujarnya ketika berucap merasmikan majlis tersebut.

Satiful berkata, program tersebut akan terus dijadikan sebagai tradisi tahunan untuk meringankan beban golongan kurang bernasib baik di musim perayaan disamping bantuan bulanan yang disediakan oleh kerajaan.


"Tahun ini, ibu tunggal akan menerima telekung sembahyang untuk dipakai raya manakala anak - anak menerima baucer RM100  yang boleh ditebus di Pasaraya Sakan di Bandar Dungun.

"Kita juga mengalu - alukan kepada semua yang memerlukan untuk menerima sumbangan daripada pihak lain walaupun berlainan parti politik, dan kita berharap semua pihak  memainkan peranan untuk membantu rakyat.

“Diharap usaha murni ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang dan semoga apa yang diusahakan ini mendapat ganjaran setimpal di hari akhirat kelak," ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: