Friday, 10 May 2019

300 Umat Islam Bantah Kebiadapan Israel

SHARE
Nasir Abdul Razak (tiga dari kiri) berucap memberi amaran kepada Israel.
KUALA TERENGGANU, 10 Mei - Lebih 300 umat Islam berkumpul di Masjid Pengadang Baru petang tadi bagi membantah dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel yang menyerang dan membunuh penduduk Palestin di Gaza pada awal Ramadan.

Pengarah Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Nasir Abdul Razak menegaskan, himpunan itu adalah sebagai tanda kebersamaan dan solidariti umat Islam bersama rakyat Gaza yang ditindas saban waktu.

Beliau turut memberi peringatan, tindakan tentera Israel merupakan perbuatan keji yang akan ditentang habis-habisan oleh seluruh umat Islam di serata dunia.

“Himpunan kita pada petang ini sebagai rintihan dan bantahan kita terhadap keganasaan yang dilakukan terhadap penduduk dan juga sahabat kita di Palestin khususnya di Gaza.

“Palestin adalah jantung kita, sekali mereka disakiti dan dizalimi maka kita pun akan terjejas sama, dan kita akan bertindak balas dengan tindakan itu, mereka (Israel) sebenarnya menggali kubur mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam himpunan aman selepas solat Jumaat yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Terengganu di perkarangan masjid berkenaan.


Nasir yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu menyeru kepada seluruh umat Islam yang ada di Terengganu untuk terus bangkit bersama warga Gaza.

“Kita berdoa di bulan Ramadan yang penuh berkat ini supaya kebangkitan islam berlaku, kita yakin itu akan berlaku, kebangkitan itu akan lebih utuh sekiranya kita bersatu, bersatu akan melahirkan kekuatan untuk kebangkitan yang hebat,” tambah beliau.

Penunjuk perasaan bantahan melaungkan takbir dan mengibar bendera Palestin, sepanduk, kain rentang dan poster sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin.

Sehingga kelmarin, sekurang-kurangnya 27 terkorban manakala 256 yang lain cedera dalam serangan rejim pengganas Israel di Semenanjung Gaza, selepas mayat sepasang suami isteri ditemukan di bawah runtuhan bangunan, kata Kementerian Kesihatan Palestin.

Menjelang awal Ramadan lalu, pesawat perang Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa kawasan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), kononnya sebagai tindak balas terhadap penggunaan belon berisi bahan bakar dari wilayah dikepung itu.

Susulan serangan itu, dua roket dilepaskan dari Gaza ke selatan wilayah Israel, sebelum jet pejuang Zionis membalas semula serangan berkenaan pada Jumaat lalu sehingga membunuh dua anggota tentera Hamas.

Keadaan terus tegang, apabila 90 roket ditembak dari Gaza ke wilayah Israel pada Sabtu, dan pertempuran sengit bermula apabila Zionis melancarkan serangan kali ketiga ke atas Gaza beberapa jam kemudian.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: