Friday, 31 May 2019

26 Anggota JPJ Menyamar Pantau Pemandu Bas

SHARE

KUALA TERENGGANU, 30 Mei – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)  melakukan taktik penyamaran dengan meletakkan 26 pegawainya sebagai penumpang bas  sempena Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) yang bermula semalam hingga 13 Jun depan.

Pengarahnya, Zulkarnain Yasin berkata, kaedah itu adalah bagi mengenalpasti pemandu bas ekspres yang melakukan tujuh kesalahan utama.

Menurut beliau, selain penyamaran, pihaknya juga menggunakan beberapa kaedah lain bagi mengesan kesalahan dilakukan pengguna jalan raya antaranya menerusi rakaman video daripada penguatkuasa, rondaan serta aduan daripada orang ramai.

"Saya nak ingatkan pemandu bas ekpress supaya berhati-hati dan berwaspada kerana kita dah kerah anggota untuk memantau pemanduan anda demi keselamatan orang ramai.

"Mereka akan ambil tindakan terutama bagi kesalahan utama seperti tidak patuh lampu isyarat, memotong garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan sebagainya," katanya

Zulkarnain

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas  melancarkan Ops HRA 2019 dan melakukan pemeriksaan bas di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, malam tadi.

Jelasnya lagi, seramai 254 orang pemandu bas dari sepuluh buah syarikat telah diperiksa melibatkan 135 buah bas dan terdapat lapan kes aktif iaitu lima kes melibatkan pemilik bas dan tiga kes bagi pemandu bas.

"Tiga kes bagi pemandu bas melibatkan saman tertunggak dan telah disenarai hitamkan daripada membawa penumpang.

"Selain itu kita juga telah menjalankan pemeriksaan ke atas 91 bas di depoh bas utama seluruh negeri dan lima buah bas telah dihalang daripada beroperasi kerana masalah cermin bas retak dan kedalaman bunga tayar yang tidak mencapai standard yang ditetapkan," ujarnya.


Tambah beliau, larangan kenderaan berat juga akan dikuatkuasakan oleh JPJ dan Polis Diraja Malaysia(PDRM) pada 1 – 3 Jun dan 8 - 9 Jun dengan tujuan untuk mengelakkan risiko berlakunya kemalangan akibat percampuran trafik antara kenderaan berat dengan kenderaan ringan selain mengelakkan kesesakan lalu lintas.

"Sekatan penuh berkuatkuasa terhadap kenderaan berat seperti low-loader yang membawa bahan binaan, kenderaan motor yang melebihi BDM 7500 kilogram, lori pengangkut rendah, ploe trailer, platform trailer, jentera berat beroda serta traktor.

"Kenderaan berat yang membawa bahan galian dan muatan balak juga termasuk dalam kategori larangan penuh. Mana-mana kenderaan barangan atau dengan jenis barangan yang tidak dinyatakan dalam jadual adalah dibenarkan menggunakan kenderaan,"katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: