Friday, 17 May 2019

200 Jemaah Masjid Derma Darah Di Bulan Ramadan

SHARE

KUALA TERENGGANU, 17 Mei - Kepenatan berpuasa di bulan Ramadan tidak menghalang hampir dua ratus jemaah Masjid Al-Muktafi Billah Shah (MAMBS) menderma darah bagi memastikan bekalan tabung darah  sentiasa mencukupi di negeri ini.

Pengarah Program, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata, sambutan di luar jangkaan tersebut menunjukkan keprihatinan masyarakat terhadap keperluan darah di Tabung Darah, Hospital Sultanah Zahirah (HSNZ).

"Kerjasama bersama Pertubuhan Karyawan Kreatif (Karyawan) ini kita jangka dapat menampung bekalan darah diantara 150 hingga 200  yang mana sebelum ini kita dapat maklumat daripada Tabung Darah, ia dibuat hanya dalam lingkungan 70 hingga 80 sahaja untuk tempoh yang terhad.

"Pada malam ini, dalam tempoh tiga jam sahaja, seramai dua ratus penderma dari kalangan jemaah berjaya dikumpulkan dan masa terpaksa dilanjutkan sehingga satu pagi," ujarnya.

Che Adam A. Rahman.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Infaq Darah Ramadan Al-Mubarak 1440H "Darah Kami Di Bulan Ramadan Demi Insan Yang Memerlukan", di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, di sini semalam.

Turut hadir dalam program itu,  Pengerusi MAMBS, Datuk Wan Md Al Bakri Wan Md Noor dan Pengurus Besar Hotel Primula Beach, Suhaibah Harun.


Program yang julung kali diadakan itu turut mendapat kerjasama dari Unit Tabung Darah HSNZ, TAC Outdoor, Kelab Eksplorasi Jerangau Barat (KELEK JB), McDonald's Terengganu dan Hotel Primula Beach.

Sementara itu, Presiden Karyawan Nik Mohd Zaid Nik Salim berkata, sambutan luar biasa program berkenaan telah melebihi sasaran awal pihak penganjur di peringkat awal.


"Mereka sanggup beratur panjang untuk mengisi borang dan ia semakin bertambah selepas tarawih.

"Kami cukup berpuas hati dengan pelaksanaan program kali ini walaupun kali pertama dianjurkan secara bekerjasama dengan banyak pihak," katanya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: