Monday, 27 May 2019

200 Anak Yatim Ceria Pilih Baju Raya Sendiri

SHARE


Oleh: Aziz Hambali

KUALA TERENGGANU, 27 Mei - Seramai 200 orang anak yatim dan miskin di sekitar daerah Marang gembira memilih baju raya sendiri dalam program Sinar Aidilfitri anjuran Persatuan Kebajikan Sahabat Sejahtera Marang (PKSSM).

Pengerusi Persatuan Kebajikan Sahabat Sejahtera Marang (PKSSM), Yusuf Abdul Hadi berkata, bantuan pakaian lengkap raya bernilai RM150 seorang itu diberikan kepada pelajar termasuk anak-anak yatim dan miskin sebagai tanda meraikan anak-anak ini dalam usaha membantu mereka mengukir senyuman di hari raya.

Menurutnya lagi, signifikan program tersebut diadakan adalah atas rasa prihatin dan cakna pihak PKSSM akan beban yang ditanggung keluarga mereka menjelang raya yang pastinya perlu kepada perbelanjaan yang besar dengan kos sara hidup yang semakin meningkat saban tahun.


"Kami mengambil inisiatif dengan mengadakan program Sinar Aidilfitri ini dengan memberi peluang anak-anak memilih sendiri baju raya untuk dipakai 1 Syawal yang akan menjelang beberapa hari sahaja lagi.

"Alhamdulillah pada pagi ini suasana sangat meriah, anak-anak pelajar gembira 'shopping' raya di sini dengan diiringi guru pengiring.

"Sumbangan ini nampak kecil, tapi sangat bernilai buat mereka dengan pelbagai lagat gembira dan ceria kelihatan sepanjang sesi membeli belah. Secara tak langsung juga dapat mengurangkan kesedihan yang ditanggung mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Sinar Aidilftri di Pasaraya Mydin Mall, Kuala Terengganu, baru-baru ini.



Turut hadir meraikan dan menemani anak-anak ini membeli belah adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.

Yusuf berkata, pihaknya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih buat mereka yang menghulurkan sumbangan sejak kutipan dilancarkan pada awal Ramadan untuk program berkenaan.

"Sumbangan kalian, kami sampaikan pada bulan Ramadan, dan insyaAllah berkat dan berlipat kali ganda pahala sedekah buat kalian, mudah-mudahan Allah terima hasil daripada kita memberi sumbangan" ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: