Wednesday, 15 May 2019

185 Penerima Dana TUGAS

SHARE
Nurkhuzaini bersama wakil penerima dana TUGAS.


KUALA TERENGGANU, 14 Mei – Seramai 185 daripada  kira-kira 580 pemohon Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) menerima pembiayaan dana berjumlah RM619,939 sejak diperkenalkan Januari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) berusaha menyelesaikan permohonan berkenaan secepat mungkin supaya pemohon dapat memajukan perniagaan masing-masing.

“Saya rasa amat terharu menyampaikan dana TUGAS ini kerana saya juga berasal daripada keluarga penjaja dan memahami keperluan mereka.

“Walaupun jumlah yang diterima tidaklah begitu banyak, di sisi mereka ia satu nilai yang besar dan dapat membantu mensejahterakan mereka dalam bidang yang diceburi,” katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Tabung Usahawan Sejahtera Terengganu (TUGAS) di Dewan Konvensyen YPU, di sini, semalam.

Nurkhuzaini bersama Hilmi (kiri) dan Anuar menyerahkan replika cek kepada wakil penerima SP3T.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah YPU, Hilmi Harun; Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Anuar Awang serta Ahli-ahli Lembaga Pengarah YPU.

Nurkhuzaini turut memaklumkan kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM15 juta dana TUGAS bagi membantu usahawan-usahawan Terengganu.

“Kita berhasrat untuk menggunakan sepenuhnya peruntukan yang diberikan tahun ini kepada yang layak tanpa mengehadkan kuantiti penerimanya.

“Saya rasa masih terdapat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi antara medium permohonan TUGAS kurang mempromosikannya kepada penduduk di kawasan masing-masing dan berharap kempen diadakan untuk mempelawa lebih ramai rakyat yang memerlukan membuat permohonan,” katanya.

Daripada keseluruhan penerima, Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T)(17 penerima), Tabung Siti Khadijah (TSK) (10 penerima), Skim Pembiayaan Atas Talian Terengganu (SPINT)(3 penerima), Dana Usahawan & Industri Mikro Terengganu (DUIT)(2 penerima) serta Dana Prihatin Terengganu –OKU(D-Hati)(2 penerima).

Dua skim baharu turut diperkenalkan iaitu Skim Bantuan Usahawan Mualaf (10 penerima) dan Skim Pembiayaan Khas Bazar Ramadan (141 penerima).

Untuk makluman, sejak dilancarkan pada Januari 2002 sehingga April 2019, sejumlah lebih kurang RM23 juta pembiayaan telah dikeluarkan melibatkan seramai 2,326 usahawan.





SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: