Sunday, 19 May 2019

150 Anak Yatim Diraikan, Ramadan Lebih Bermakna

SHARE


Oleh: Fidee Aziz

KUALA TERENGGANU, 16 Mei - Seramai 150 orang anak yatim menerima sumbangan  wang tunai daripada Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk.

Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTs) Batu Buruk, Abu Bakar Salleh berkata, program itu memberi keceriaan kepada mereka untuk menghadapi Ramadan dengan lebih baik.

Katanya, kehilangan orang tersayang dalam hidup merupakan sesuatu yang sangat memeritkan, tambah pula ibu bapa adalah tempat bergantung hidup.

“Program ini adalah untuk kita raikan mereka, memberikan mereka sedikit bantuan supaya ramadan disambut dengan penuh kebaikan oleh mereka.

“Program ini buat julung kalinya diadakan secara terbuka, kalau sebelum ini hanya menyerahkan kepada ketua-ketua cawangan sahaja untuk memberikannya," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Anak Yatim dan Majlis Berbuka Puasa di Dewan Dato' Wan Muttalib, Kuala Ibai, baru-baru ini.

Turut hadir, ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ahli Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Mohd Izzat Abdullah serta seluruh Ahli Jawatankuasa (AJK) Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kuala Ibai.

Menurut Abu Bakar lagi, beliau amat berterima kasih kepada pihak MPKK dan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk yang bertungkus lumus memastikan program berkenaan berjalan dengan lancar.

"Sumbangan ini tidak akan berjalan dengan lancar, sekiranya tiada kerjasama yang baik daripada pihak-pihak berkenaan," tambah beliau.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: