Wednesday, 15 May 2019

12,700 Penjawat Awam Terengganu Bakal Terima Bonus

SHARE

MB (kanan) bercakap kepada pemberita di pejabatnya hari ini. Turut hadir Ustaz Ariffin (kiri). 

KUALA TERENGGANU, 15 Mei - Kerajaan negeri memutuskan untuk memberi bonus raya kepada kira-kira 12,700 kakitangan penjawat awam seluruh Terengganu dengan jumlah yang akan diumumkan minggu depan.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini kerana ada beberapa perkara sedang pertimbangkan termasuk kedudukan kewangan semasa dan pemotongan 25 peratus royalti petroleum dan gas oleh Kerajaan Persekutuan.

"Kita (kerajaan) sedang melihat beberapa perkara untuk menentukan jumlah yang munasabah supaya tidak membebankan kewangan kerajaan negeri dalam keadaan beberapa pemotongan royalti petroleum dan gas Kerajaan Pusat dibuat terhadap royalti Kerajaan Negeri Terengganu.

"Bagaimana pun pada dasarnya bonus itu akan diberi kepada mereka, cuma dari segi jumlahnya belum sampai masanya untuk diumumkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman.

Ketika ditanya perbandingan dengan kerajaan Pulau Pinang yang terlebih dahulu mengumumkan bonus tersebut, Dr. Samsuri berkata, kerajaan negeri sedang melihat kedudukan kewangan dan akan menentukan jumlah sesuai untuk tujuan itu.

Katanya, semua itu dibuat dengan mengambil kira jumlah penjawat awam Negeri Terengganu, empat kali ganda lebih besar berbanding penjawat awam Pulau Pinang.

Tahun lalu dalam Ucapan Bajet 2019 di Dewan Undangan Negeri (DUN), Menteri Besar menjelaskan bahawa kerajaan negeri memberi bonus sebanyak RM500 kepada setiap penjawat awam.

Berhubung dengan kekeliruan syarat permohonan Dana Raya Rakyat Terengganu (iDana) beliau berkata, kerajaan lebih berfokus untuk membantu golongan miskin dan orang kelainan upaya (OKU) atau mereka yang sangat memerlukan kerana kekangan kewangan tersebut.

"Kali ini kerajaan lebih berfokus, tidak (memberi dana) dalam lingkungan kelompok yang besar tetapi fokus kepada OKU dan golongan miskin atau mereka yang dikira sangat memerlukan.

"Dana raya diberi secara berfokus dengan mengambil kira berlaku pemotongan secara drastik terhadap kewangan kerajaan negeri sebanyak 25 peratus hasil royalti minyak setiap tahun," ujarnya.

Dengan pemotongan tersebut katanya, sejumlah RM400 juta telah hilang dari pendapatan negeri dan ia perlu diganti dengan bayaran hutang Kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri.

"Yang kedua ialah penerimaan menerusi Dana Khas Persekutuan (DKKP) yang sepatutnya diterima sebanyak RM220 juta pada Januari tahun ini belum lagi diterima.

"Untuk tahun 2019 dan 2020 belum lagi kita terima hutang Kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri berkait dengan projek Kerajaan Pusat di Terengganu di masa lalu," jelasnya lagi.

Justeru katanya, dengan mengambil kira keadaan ekonomi dan kewangan semasa serta ditambah dengan Bayaran Berjadual (Schedule Payment) dan Bayaran Tertangguh (Deferred Payment), dana raya tahun ini dihadkan kepada RM16 juta dengan setiap pemohon memperolehi RM200 seorang sahaja.

Menurut beliau, pemberian dana raya itu adalah satu bentuk ihsan daripada kerajaan negeri kepada mereka yang memerlukan bagi menyambut Aidilfitri, awal Jun depan.

Katanya, kerajaan negeri akan mengadakan siri penjelasan mengenai keputusan mengehadkan jumlah dana raya itu kepada mereka yang terlibat.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: