Oleh: Aslam Wira
MARANG, 29 Mei – Seramai 11 penerima di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang pertama kali mendapat bantuan secara bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang disampaikan terus ke rumah masing-masing.
Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Sabri Zakaria berkata,
usaha berkenaan adalah untuk memudahkan lagi urusan seharian keluarga kurang bernasib baik yang tercicir sebelum ini tanpa perlu keluar ke mana-mana pusat agihan.
Jelasnya, penerima bantuan ini adalah mereka yang tergolong dalam kelompok kurang
berkemampuan dari sudut kewangan termasuk mengalami sakit kronik, sakit
tua, miskin dan ibu tunggal.
“Bantuan yang disalurkan ini adalah bantuan secara bulanan,
bantuan kali pertama ini JKM Marang bersetuju untuk menghantar secara ‘one-off’dan
tunai kepada setiap penerima.
“Kita berharap agar penerima bantuan ini supaya dapat
menggunakan bantuan yang diberikan dengan sebaik mungkin dan semoga bantuan
yang diberikan dapat meringankan beban keluarga dan penerima,” katanya ketika
berkunjung ke rumah penerima-penerima tersebut, semalam.
Hadir sama, Penyelia Pusat Khidmat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Sahabat Sejahtera Marang, Yusof Abdul Hadi, kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Marang dan wakil-wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
Dalam perkembangan yang sama, Sabri menjelaskan tujuan agihan
bantuan secara terus ke rumah penerima itu adalah bagi melihat sendiri suasana
kehidupan dan masalah rakyat serta menilai kelayakkan penerima berdasarkan kriteria
yang telah ditetapkan oleh JKM.
Katanya, ia juga untuk menilai sama ada mereka telah mendapat bantuan
daripada agensi lain seperti Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU)
daripada Jabatan Perdana Menteri, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) serta beberapa agensi lagi.
“Sekiranya ada bantuan
daripada agensi lain atau bentuk bantuan lain, kita akan menyalurkan bentuk
bantuan daripada agensi yang layak dengan kerjasama (MPKK) masing-masing,”
katanya.
0 komen: