Monday, 22 April 2019

YPK Dungun Agih RM160,000 Pinjaman Modal Program Jaya Diri

SHARE


 
Salah seorang peserta terpilih menerima pinjaman modal yang disampaikan Alias.
Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 22 April – Seramai 18 peserta wanita Dungun terpilih menerima bantuan Pinjaman Modal Program Jaya Diri berjumlah RM160,000 daripada Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) bagi membesarkan perniagaan mereka.

Skim pinjaman  itu merupakan bantuan pinjaman tanpa faedah untuk membantu usahawan anak negeri supaya meningkatkan perniagaan ke tahap lebih baik.

Seorang daripada 18 penerima berkenaan, Wan Rosmaliza Wan Ali mewakili lafaz akad penerimaan pinjaman tersebut dalam sebuah majlis sempena Hari Keluarga Desa Keluarga Dungun di perkarangan Flat Bijangga, di sini, Sabtu lalu.

Bantuan berkenaan disampaikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Dan Perpaduan Nasional negeri, Alias Harun disaksikan wakil YPK.

Majlis itu turut dihadiri pegawai Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Kawasan Dungun, Farah Nor Faradila Mohd Zuki.

Alias turut seru penduduk laksana tanggungjawab sebagai penyewa Desa Keluarga supaya tidak membebankan YPK. 


Dalam pada itu, Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang menasihati para penyewa di kediaman berkenaan supaya melunaskan kadar sewa di setiap akhir bulan sebagaimana ditetapkan berikutan terdapat aduan berkaitan tunggakan sewa diterima.

"Perlu diingat bahawa kita, kerajaan dan korporat masing-masing ada tanggungjawab untuk membina negeri yang cantik ini.

"Jadi, saya mohon penghuni-penghuni di sini berusahalah untuk menjelaskan sewa, berusaha membayar tungakan. Kalau tunggakan RM400, usaha selesaikan sebahagian terlebih dahulu,” katanya sambil memaklumkan, kadar sewa serendah RM100 hingga RM140 itu tidak seharusnya menjadi masalah untuk dijelaskan setiap bulan kepada YPK.

 Menurutnya, kerajaan sama ada negeri dan Persekutuan memperuntukkan jumlah yang besar untuk menaik taraf kemudahan sebagai langkah meningkatkan keselesaan penghuni di kediaman tersebut.

"Tetap, jika tiada kerjasama (melunaskan tunggakan) daripada tuan-puan, maka kerajaan hanya dapat melakukan penambahbaikan secara minimum sahaja.

"Usaha murni tuan puan, bukan sahaja akan beroleh keberkatan Allah SWT tetapi juga memberi kemudahan kepada kerajaan merangka, merancang dan menambah baik kemudahan sedia ada," katanya.

 
Para penduduk Desa Keluarga laksana pelbagai aktiviti untuk erat hubungan dalam komuniti.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: