Monday, 8 April 2019

YPASM Bakal Taja Pelajar Ke Antartika

SHARE



KUALA TERENGGANU, 8 April- Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dijangka akan menghantar dua pelajar dan seorang guru dari Terengganu ke Antartika buat julung kalinya bagi menyertai ekspedisi pendidikan di bawah Program ‘Student On Ice’.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nasaruddin Abd Rahman berkata, sekiranya ia menjadi kenyataan, program itu dijangka akan dilaksanakan pada musim panas di Antartika antara Disember hingga Mac.

Menurutnya, sejak ekspedisi pendidikan itu dimulakan pada 2015 itu, empat kumpulan sebelum ini membabitkan lapan pelajar dan empat guru dihantar ke program penerokaan dan penyelidikan di Artik.
Add caption

“Sejak empat tahun kebelakangan ini, kita telah menghantar dua pelajar dan seorang guru setiap tahun dari Terengganu dengan bantuan kewangan daripada Kerajaan Terengganu ke Artik untuk mendedahkan mereka tentang isu perubahan iklim.

“Semasa pelayaran, mereka didedahkan dengan perubahan iklim dan ada saintis di atas kapal yang akan menunjukkan kegiatan dan aktiviti penyelidikan yang mereka lakukan. Mereka akan berkumpul bersama-sama dengan lebih 100 pelajar daripada seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Terengganu 2019 bertempat di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu di sini, semalam.

Perasmian itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed dan turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Noor Afifah Abdul Razak.

Jelas Mohd Nasaruddin, pemilihan dijangka akan bermula Jun ini dan pelajar yang layak akan dipilih menerusi Kem Polar Sains serta perlu melalui beberapa ujian termasuk ketahanan fizikal dan mental, ujian sains serta kemampuan komunikasi dan penulisan.

“Pihak yayasan memperuntukkan sejumlah RM50,000 seorang untuk menghantar pelajar dan guru ke program berkenaan.

“Ia adalah antara usaha kami dalam menarik minat pelajar terhadap program sains dan penyelidikan, di samping meningkatkan kebolehan dan kemahiran interaksi pelajar apabila bergaul bersama pelajar lain daripada seluruh dunia dalam program itu,” katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: