Thursday, 18 April 2019

UniSZA, YDSM Bantu Pelajar B40

SHARE
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyaksikan pertukaran Dokumen diantara Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan (kiri) dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM), Datuk Mohd Fadzli Yusof (dua kanan) selepas majis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Bagi Pengambilan Pelajar Berpendapatan Rendah (B40) antara UniSZA dan YDSM di YDSM Perkarangan Istana Badariah

KUALA TERENGGANU, 18 April -
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kerjasama strategik Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) sekali lagi melakar sejarah dalam bidang pendidikan dan muncul sebagai perintis dalam menyediakan tempat kepada pelajar-pelajar B40 Terengganu untuk melanjutkan pengajian di UniSZA melalui pengambilan kedua.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato' Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, pihaknya menawarkan 18 peratus tempat kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah iaitu RM3,000 ke bawah dan miskin, anak orang asli dan orang kurang upaya untuk menyambung pengajian Diploma dan Ijazah Sarjana Muda melalui kemasukan laluan khas yang disediakan oleh Universiti.

Katanya, program kemasukan laluan khas  kepada isi rumah di bawah RM3,000 itu dikenali sebagai 'Bottom 40%' (B40) telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi untuk dilaksanakan oleh universiti awam (UA).

" Ia umpama memberi peluang kedua kepada kumpulan pelajar ini untuk melanjutkan pengajian di UniSZA dan pihak kami telah mengenalpasti anak-anak B40 ini yang ada peluang untuk menuntut di Universiti tapi agak terbatas melalui YDSM.

"YDSM akan mengumpul maklumat anak-anak B40 yang ada peluang ini dengan kerjasama agensi-agensi seperti Yayasan Islam, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT),"ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis permeteraian memorandum persefahaman (MoU) di YDSM di Istana Badariah, Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Pada upacara yang disaksikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin tersebut, YDSM diwakili Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya, Dato’ Mohd Fadzli Yusof, manakala UniSZA diwakili Naib Canselor, Prof. Dato'Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan.

Tambahnya, melalui kolaborasi dengan YDSM yang sentiasa prihatin dengan nasib anak-anak Terengganu, pihak UniSZA akan mempertingkatkan lagi kemasukan mereka.

"Kita akan tingkatkan dari semasa ke semasa, dari 18 peratus kepada  20 peratus kemasukan anak-anak B40 dan selepas dua tahun berikutnya kepada 22 peratus dan mencapai 25 peratus.

"Kita akan beri peluang kepada anak-anak B40 untuk menyertai pendidikan dengan YDSM sebagai payung untuk bantu anak-anak ini,"kata Dr. Hassan Basri.

Jelasnya, selain memberi dan membuka peluang kepada mereka untuk memasuki Universiti, pihak UniSZA juga akan membantu anak-anak yang berpotensi tetapi tidak mencapai tahap minima melalui program branding.

"Mana-mana yang berpotensi tetapi kurang sikit, kita akan usaha bantu...maksudnya masuk lewat sikit atau awal dengan kawalan dari pihak UniSZA supaya kualiti akademik tidak terabai.

"Kita maklum bahawa kemasukan anak-anak B40 ini adalah melalui laluan khas dan bukan dengan laluan trek biasa jadi tidak perlu bersaing dengan rakan yang lebih baik cuma ikut dasar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang telah dilaksanakan," kata beliau.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: