Sunday, 14 April 2019

Tun Daim Beri Bayangan Jajaran ECRL Di Terengganu Kekal

SHARE

Tun Daim Zainuddin.
KUALA TERENGGANU, 14 April - Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan melalui negeri Terengganu dijangka akan dikekalkan.

Pengerusi Majlis Penasihat Negara, Tun Daim Zainuddin memberi bayangan terhadap perkara itu dengan mengatakan bahawa segalanya akan mengikut seperti perancangan awal.

Jelasnya, stesen ECRL yang berfungsi untuk kargo dan penumpang itu akan dimuktamadkan sepenuhnya pada sidang media oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad esok.

Saya tahu banyak di pantai timur, termasuk Terengganu, berminat supaya projek ini diteruskan dan laporan bahawa ECRL akan diteruskan disambut baik dengan kegembiraan di pantai timur.

“Saya juga baca laporan yang mengatakan saya tinggalkan Terengganu dalam projek ini, ECRL bermaksud East Cost Rail Link, kalau Terengganu tak dimasuk bukan east cost,” jelasnya.
 
Ahmad Samsuri turut berucap dalam program itu.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bicara Darul Iman yang bertajuk Ekonomi Bumiputera Agenda Nasional di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya dan Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Zahari Md Azhar.

Hadir sama ialah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Parlimen Terengganu, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu serta pegawai-pegawai jabatan negeri.

Tun Daim turut berkata, projek ECRL adalah projek untuk meningkatkan dan mengembangkan taraf ekonomi bumiputera terutamanya di pantai timur.

Jelasnya, peluang usahawan bumiputera di pantai timur untuk membuktikan keupayaan dan bersaing dalam industri tersebut akan meningkat.

“Industri sampingan seperti 'homestay', makanan, pengangkutan dan runcit pasti akan berkembang dengan adanya ECRL, di mana usahawan, baik besar ataupun kecil akan terdedah kepada lebih banyak peluang,” katanya.
 
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad turut mengambil bahagian dalam sesi soal jawab.
Menjawab persoalan mengenai kos tambang ECRL, Tun Daim berkata, tanggungjawab itu pastinya perlu dipikul oleh kerajaan dalam mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh rakyat.

“Dulu kita buat kajian, kos satu perjalanan menelan belanja sebanyak RM500 (ke Kuala Lumpur), tapi projek untuk rakyat, selalunya projek pengangkutan untuk rakyat akan diberi subsidi,” tambah beliau.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri pada Jumaat lalu mengumumkan Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communications Construction Company Ltd memeterai perjanjian tambahan yang membuka jalan bagi menyambung semula projek ECRL.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: