Tuesday, 16 April 2019

Timbalan Menteri Kesihatan Puji Kad Sejahtera Terengganu

SHARE
Dr. Lee dan Dr. Alias turut menziarahi pesakit di hospital Dungun.
DUNGUN, 16 April - Pelaksanaan bantuan perubatan melalui Kad Sejahtera yang dilaksanakan Kerajaan Terengganu mendapat pujian Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dr. Lee Boon Chye.

Menurutnya, inisiatif itu dapat mengurangkan rakyat yang kurang berkemampuan.

"Terima kasih kepada negeri Terengganu kerana memberi perkhidmatan kepada rakyat sekali gus mengurangkan beban kepada klinik dan hospital awam kerana ia boleh digunakan untuk klinik swasta," katanya ketika ditemui pemberita.


Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis dialog sempena Lawatan Kerja Timbalan Menteri Kesihatan ke Fasiliti Kesihatan Dungun, di Dewan Majlis Perbandaran Dungun, di sini hari ini.

Dalam program berkenaan, beliau yang disambut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak melawat Hospital Dungun dan mengadakan pertemuan dua hala dengan pegawai-pegawai perubatan negeri.

Turut hadir, Timbalan Exco, Ahmad Shah Mohamed,  Pengarah Kesihatan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Mohd Jusoh serta Pengarah Hospital Dungun, Dr. Farah Najwa Abdul Rahim.

Lebih 300 kakitangan perubatan seluruh daerah hadir dalam majlis dialog.
Dr. Lee turut melihat perjalanan projek pembinaan hospital baharu Dungun yang dijadualkan siap pada Februari 2020.

Dalam pada itu, Dr. Alias memaklumkan Kad Sejahtera akan memberi manfaat kepada 20,000 rakyat negeri itu melalui subsidi perubatan bagi wad kelas ketiga dan unit pesakit luar di klinik swasta.

Inisiatif berkenaan merupakan salah satu manifesto kerajaan negeri dengan sebanyak RM12 juta diperuntukkan bagi tahun ini dengan nilai RM500 bagi setiap kad.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: