Monday, 15 April 2019

Tiada Lagi Dendam, Layan Rakyat Dengan Adil

SHARE
Dr Azman Ibrahim

Oleh : Hidayah Azlin
Foto : Ariss Alias

SETIU, 15 April - Kerajaan Terengganu terus mengorak langkah dengan melaksanakan keadilan tanpa dendam kepada semua rakyat dalam usaha membina sebuah negeri yang maju, berkat dan sejahtera.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) perlulah sentiasa berlaku adil dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat terutama di peringkat kampung.

Jelasnya, setiap anggota masyarakat berhak untuk mendapat layanan dan hak yang sama meskipun berbeza agama, fahaman politik dan juga bangsa.

“Sekiranya ada anak buah di kampung datang dengan sesuatu hajat, meminta pertolongan dan kita bertanya mengundi apa pilihan raya umum lalu, ini adalah ciri pengerusi MPKK yang gagal.

“Bukan mudah untuk kita ubah cara orang kampung berfikir, tapi saya sangat optimis bahawa pemikiran positif ini sedikit demi sedikit akan diterapkan dalam masyarakat orang kampung,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Karnival Setiu Sejahtera di Dataran Budaya Rhu 10, di sini, kelmarin.
 
 Beliau berkata, keadilan adalah  kepada semua rakyat
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Shafizi Ismail.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, amanah kepimpinan ini bukanlah satu tassyrif ataupun kebolehan tetapi ia merupakan taklif iaitu tanggungjawab yang akan dijawab di hadapan Allah.

Katanya, untuk membina masyarakat yang memandang ke hadapan dan melaksanakan keadilan, kisah lama itu perlu ditutup kerana jika diungkit kembali ia tidak memberi sebarang makna.

“Kita yang berada dalam satu pasukan perlu meletakkan satu nokhtah dalam perkara yang memualkan dalam masyarakat ini.

Mulai hari ini, tidak ada dendam, tidak ada balas dendam cuma yang kita nak bagi adalah keadilan kepada semua rakyat,” tambah beliau.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: