Wednesday, 3 April 2019

Terengganu FC Mudah Atasi Ultimate FC

SHARE
Pemain TFC meraikan kemenangan mereka dalam saingan Piala FA.


KUALA TERENGGANU, 3 April - Terengganu Football Club (TFC) mencatat kemenangan mudah menewaskan pasukan Liga M3, Ultimate FC dalam aksi pusingan kedua Piala FA Malaysia, semalam.

Beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), TFC nyata mendominasi perlawanan dan menunjukkan belangnya mengatasi lawan dengan kedudukan 5-0.

Meski tanpa kelibat Lee Andrew Tuck dan Tchetche Kipre, pasukan tuan rumah bermula selesa apabila berjaya menjaringkan gol seawal minit pertama menerusi Mohamad Ashari Samsudin yang menolak mudah hantaran leret Mohd Khairul Izuan Rosli.

Namun, jaringan tersebut tidak mematahkan semangat Ultimate FC untuk mengatur serangan.

Bagaimanapun, keputusan perlawanan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
'The Silent Killer' ledak gol pertama perlawanan.

Memasuki babak kedua, TFC menggandakan asakan dengan memasukkan Muhamad Sharin Sapien pada minit ke-56'.

Namun, dia digantikan dengan Ahmad Syamim Yahya seminit kemudian kerana kecederaan di kepala.

Kebuntuan Sang Penyu mencari gol kedua berakhir apabila Igor Zonjic menanduk padu bola lambungan Sanjar Shaakhmedov pada minit ke 73'.

Empat minit kemudian, Sanjar menambah jaringan dengan menanduk bola muntah  untuk gol ketiga.

Pasukan pelawat yang mula tertekan cuba melengahkan permainan, tetapi TFC mula berpesta gol setelah Khairul Anwar Saharudin dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke 84'.

Nasrullah Hanif Johan kemudiannya tenang menyempurnakan sepakan penalti sekaligus melenyapkan harapan Ultimate FC.

Menjelang minit-minit akhir perlawanan, Khairul Izuan Rosli menambah luka pelawat apabila menolak masuk bola ke gawang dalam keadaan kelam kabut di depan melengkapkan kemenangan besar tuan rumah.

Mengulas persembahan pemain TFCketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan anak buahnya terlalu berhati-hati semasa separuh masa pertama.

"Aspek ini kita ubah pada babak kedua dan berhasil menambah jaringan.

"Bagi aksi bertemu PKNP FC selepas ini, saya tidak boleh membuat andaian lagi tetapi kehadiran Lee Tuck yang telah pulih dijangka akan memperkuatkan bahagian tengah kita," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan.

Irfan puji aksi Ultimate FC.

TFC akan melayan kunjungan pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC dalam aksi Liga Super Malaysia, Sabtu ini.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: