Tuesday, 16 April 2019

Terengganu Taja Biasiswa ACCA Pertama Di Pantai Timur

SHARE
Ustaz Satiful Bahri Mamat.
KUCHING, 16 April - Kerajaan negeri akan memulakan program tajaan biasiswa bagi anak Terengganu mendapatkan sijil Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) sekali gus mempelopori program itu di pantai timur.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, sebanyak RM600 ribu diperuntukkan dalam Bajet 2019 untuk tujuan tersebut.

"Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) akan melaksanakan program ini bermula tahun ini. Kita mengharapkan dengan sijil ACCA ini dapat menghasilkan akauntan profesional yang bertauliah, yang terbaik untuk negeri Terengganu," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Anak Terengganu Pasca Pembentangan Bajet Negeri 2019 Peringkat Negeri Sarawak di Penview Hotel, Kuching, Sarawak, kelmarin.

Sementara itu, mengulas lanjut tentang perkara tersebut, Pengarah Yayasan Terengganu, Hishamuddin Hashim berkata, kerajaan negeri telah mengumumkan empat inisiatif bagi pelajar-pelajar Terengganu untuk meneruskan pendidikan di peringkat yang paling tinggi.

Hishamuddin Hashim.
"Salah satu program yang telah diumumkan adalah skim biasiswa ACCA di mana sebanyak RM600 ribu diperuntukkan bagi tahun ini.

"Program ini akan bermula pada tahun ini. Insya-Allah pada Ogos ini, batch (kumpulan) pertama akan masuk untuk menjalani program ini.

"Kita telah mengadakan kerjasama dengan sebuah syarikat 'chartered accountant' dan juga Universiti Malaysia Terengganu untuk memulakan program ini yang dijangka pada bulan Ogos ini.

"Semua persiapan telah diatur. Insya-Allah kita akan adakan satu perjanjian persefahaman (MoU) bagi tujuan program," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, ditanya tentang jangkaan peserta yang akan mengikuti program berkenaan, Hishamuddin memaklumkan, kerajaan negeri mensasarkan seramai 17 orang pelajar pada 2019.

"Pada tahun ini, jangkaannya kita dapat ambil seramai 17 orang. Pelaksanaan program ini melibatkan dua kategori.

"Pertama pengajian sepenuh masa melibatkan jumlah biasiswa sebanyak RM38,400 seorang (10 orang). Kedua separuh masa melibatkan peruntukan RM30,000 seorang (7 orang).

"Bagi pelajar sepenuh masa, mereka akan ditanggung sepenuhnya yuran dan wang saku. Manakala kerajaan negeri akan menanggung yuran sahaja bagi pelajar separuh masa.

"Tempoh masa pengajian sepenuh masa adalah dua tahun dan separuh masa antara dua hingga empat tahun," katanya.

Bagaimanapun, katanya, pelajar Terengganu yang akan memohon perlu melepasi syarat-syarat kemasukan.

"Anak negeri Terengganu yang akan diberi pertimbangan adalah mereka yang mendapat keputusan cemerlang sekurang-kurangnya CGPA (Cumulative Grade Points Average) 3.0 dalam ijazah sarjana muda perakaunan dari IPT (Institut Pengajian Tinggi) yang diiktiraf.

"Pemohon hendaklah berumur tidak lebih 28 tahun bagi sepenuh masa dan tidak lebih 32 tahun untuk pengajian separuh masa dan mestilah mendapat tawaran kelayakan dari ACCA sendiri.

"Kita jangka pelajar yang mendapat keputusan terakhir dalam bidang perakaunan akan membuat permohonan. Permohonan telah dibuka sejak mingu lepas melalui 'online' portal YT.

"Sesiapa yang berminat boleh membuat permohonan. Selepas permohonan perlu mengemukakan balik dokumen-dokumen diperlukan kepada kita untuk pengesahan bagi memulakan program skim biasiswa," ucapnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: