Wednesday, 24 April 2019

Terengganu Sumbang RM156 Ribu Untuk Penduduk Gaza

SHARE


KUALA TERENGGANU, 24 April – Kesusahan yang dialami oleh penduduk Gaza mendapat perhatian kerajaan negeri dan rakyat Terengganu apabila berjaya mengumpul sumbangan RM156,000 bagi meringankan penderitaan mereka.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau mewakili kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada semua dermawan yang memberi komitmen bagi mengumpul dana berkenaan.

“Kita merasakan ini adalah tanggungjawab atas nama misi kemanusiaan (untuk) meringankan bebanan yang di hadapi rakan- rakan dan saudara kita yang berdepan dengan bencana yang amat getir  di Gaza.

“Suasana ini bukan semata-mata kerana masalah  isu agama di Gaza  tetapi termasuklah tentangan (kita) terhadap aspek (hak-hak asasi) kemanusiaan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Misi Kemanusiaan Gaza 2019 di Damai Lounge, Tingkat U2, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Dr. Samsuri berkata, selain daripada kekurangan makanan, kemudahan asas kepada penduduk ‘yang terkepung’ itu sangat minima.


"Jikalau pada hari ini di negeri kita bercakap tentang  nak makan apa, mereka  bercakap tentang ada makan tak hari ini. Kita bercakap  tentang nak hantar sekolah mana, mereka bercakap ada tempat tak  nak bersekolah.

“Kita bercakap tentang hospital, kita ada pilihan bergantung (dengan) kemampuan duit masing-masing, mereka bercakap mengenai ada ke hospital, ada ke ubat, itulah yang mereka alami,” ujarnya.

Oleh itu, katanya walaupun tidak dapat membantu secara fizikal namun sumbangan boleh disalurkan melalui badan-badan bukan kerajaan yang melaksanakan misi kemanusian ke Gaza.

“Kita merasakan bahawa kita tak boleh pergi ke sana untuk ubati mereka dan ini adalah salah satu cara kita bagaimana kita boleh meringankan bebanan mereka.

“Walaupun kita tak boleh buat banyak tapi (apa yang) kita buat ini sebenarnya di mata, hati dan perasaan mereka adalah satu perkara yang sangat besar ertinya. Kita dapat memahami bagaimana peritnya keadaan yang dialami oleh mereka,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah PASRelief, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, misi kemanusiaan ke Gaza dijadualkan berlangsung pada 27 April sehingga 3 Mei ini.

“Saya bagi pihak PASRelief merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar atas keprihatinan  yang tak pernah pudar serta menjayakan misi kemanusiaan yang dianjurkan  PASRelief dan NGO kemanusiaan yang lain sepanjang menerajui Kerajaan Negeri Terengganu,” katanya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: