Sunday, 21 April 2019

Terengganu Sanjung Tinggi Usaha Pemulihan Dadah

SHARE

Ustaz Mohd Nor (dua dari kanan) menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) kepada seorang PRS di Majlis Anugerah Motivasi Dalam Kepulihan Dadah 2019 di sebuah motel di Kuala Terengganu hari ini. Foto - Solahuddin Al-Idrus
KUALA TERENGGANU,  21 April - Kerajaan negeri menyanjung tinggi usaha pihak persendirian mendirikan pusat pemulihan dadah kerana ia perlu bagi mengembalikan semula bekas penagih kepada kehidupan manusia biasa tanpa dadah. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata sebanyak empat buah pusat pemulihan dadah persendirian wujud sekian lama di Terengganu dengan usaha dan pengorbanan yang tidak sedikit dari pengusahanya. 

Ini termasuk Rumah Rakan Islah di Bari Besar Setiu, Cakna Komuniti di Ajil, Hulu Terengganu, Madrasah Khairul Insan (HATI) Jenagor Kuala Berang, Hulu Terengganu dan Pondok Remaja Inabah Sungai Ikan, di sini.

"Saya mewakili kerajaan negeri mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap pusat-pusat pemulihan ini.

"Kerajaan memberikan komitmen untuk bersama walaupun kemungkinan kerajaan tidak dapat memberi sumbangan kewangan yang cukup tetapi kita ke arah bekerjasama dan berusaha memikul tanggungjawab untuk membantu pusat-pusat pemulihan tersebut," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada media selepas merasmikan Majlis Anugerah Motivasi Dalam Kepulihan Dadah 2019 di sebuah motel di sini hari ini.


Ustaz Mohd Nor


Ustaz Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung berkata, kerajaan negeri memberi penghargaan yang tinggi terhadap pusat pemulihan dadah persendirian tersebut kerana aktiviti itu bukan satu kerja yang mudah.

Katanya, kerja pemulihan itu menghabiskan duit, tidak seperti projek membina infrastruktur negeri.

"Para kontraktor berebut mahu melaksanakan projek jalan raya dan membina jambatan tetapi mengenai projek pemulihan ini, dia bukan dapat duit tetapi menghabiskan duit bahkan ada di antaranya sukarela sahaja," jelasnya.

Katanya, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) turut memberi sumbangan berbentuk geran kepada pusat-pusat pemulihan tersebut dalam beberapa ribu ringgit untuk membantu pusat-pusat berkenaan dari segi kewangan.



"Projek pemulihan inilah yang memberi kesan yang besar bagi membasmi dan membendung penagihan dadah di kalangan masyarakat," katanya.

Sementara itu dalam satu sidang media di Kemaman baru-baru ini beliau berkata, kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk menggunapakai Bekas Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Cenderawasih Cador,  Marang sebagai pusat pemulihan penagih dadah secara holistik pertama di Terengganu tahun depan.

Pusat itu yang dibina di atas tanah kerajaan dalam perkiraan untuk diambilalih bagi tujuan tersebut.

Katanya,  modul  pelaksanaan pusat tersebut hampir 90 peratus siap.

Baca: Kem Cador Pusat Pemulihan Dadah Holistik

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: