Wednesday, 17 April 2019

Terengganu Perkasa Industri Perikanan Darat

SHARE
Dr Azman Ibrahim. Foto oleh - Wan Luqmanul Hakim
KUALA TERENGGANU, 17 April - Kerajaan Terengganu komited untuk  terus memperkasakan industri akuakultur perikanan darat di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, usaha berkenaan akan bermula dengan melaksanakan beberapa pemurnian terhadap peraturan-peraturan sedia ada.

Jelasnya, undang-undang yang ditambah baik itu bertujuan untuk menjamin kelestarian hasil perikanan darat untuk masa hadapan, mengawasi aspek keselamatan supaya tidak berlaku pemindahan wabak serta menjana pendapatan pengusaha dengan lebih baik.

“Kaedah-kaedah perikanan darat ini merupakan satu undang-undang atau peraturan sebab Akta Perikanan 1985 yang ada cuma kawal untuk laut sahaja, jadi tidak ada satu peraturan untuk kita mengawal aktiviti perikanan darat.

“Daripada beberapa negeri yang sudah melaksanakan kaedah-kaedah ini yang telah dibentangkan oleh Jabatan Perikanan Negeri Terengganu kepada kerajaan negeri, kita tengok ada beberapa frasa-frasa yang memerlukan pemurnian, iaitu kita perlu tengok realiti di Terengganu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Perasmian Bengkel Pemurnian Kaedah-Kaedah Perikanan (Akuakultur Perikanan Darat) Negeri Terengganu di Dewan Besar, Akademi Perikanan Terengganu, Chendering, di sini semalam.

Dr Azman merasmikan Bengkel Pemurnian Kaedah-Kaedah Perikanan (Akuakultur Perikanan Darat) Negeri Terengganu.
Turut hadir, Pengarah Perikanan Negeri, Zawawi Ali, Pengarah Akademi Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat, ketua-ketua jabatan serta agensi perikanan.

Dr Azman turut berkata, hasil perincian kaedah perikanan darat yang meliputi kolam, sungai dan tasik itu akan dijadikan satu pelan khas untuk dibincang bersama pihak tertinggi sebelum dilaksanakan sepenuhnya.

Tambah beliau, kaedah yang telah dipersetujui tersebut akan dipraktikan kepada seluruh pengusaha industri itu di Terengganu.

“Hasil daripada bengkel ini insya-Allah kita akan ada satu cadangan kaedah-kaedah perikanan darat untuk negeri Terengganu.

“Kemudian akan kita bincang secara lebih lanjut sebelum dijadikan satu kaedah yang diguna pakai di negeri ini,” tambah beliau.


Bengkel tersebut akan berlangsung selama tiga hari bermula semalam yang disertai oleh lebih 40 pegawai daripada pelbagai agensi dan pertubuhan.

 
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: