Monday, 29 April 2019

Terengganu Mahu Lahirkan Jurulatih Senamrobik Lelaki Bertauliah

SHARE
Wan Sukairi Wan Abdullah bersama peserta kursus.
Oleh: Wan Luqman Hakim

KEMAMAN, 29 April - Terengganu berhasrat melahirkan jurulatih senamrobik lelaki yang bertauliah bagi memperluaskan aktiviti riadah itu di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, keperluan untuk melahirkan tenaga pengajar lelaki sangat tinggi memandangkan aktiviti kecergasan itu semakin mendapat sambutan.

Katanya, Terengganu belum memiliki jurulatih lelaki yang mempunyai kelayakan untuk mengendalikan program kecergasan berbanding pengajar wanita.

“Saya dimaklumkan kita tiada lagi pengajar aerobik yang terdiri daripada kaum lelaki, yang ada cuma kaum wanita sahaja.Jadi mewujudkan kelas ini untuk melahirkan jurulatih lelaki, ini adalah suatu keperluan dan satu kewajiban bagi kita di Negeri Terengganu ini kerana dasar kita adalah Islam dan kita mesti mewujudkan pengajar lelaki

“Apabila pengajar perempuan ini, dibimbangi tidak mencapai tujuan (sebenar aktiviti), kerana apabila jurulatih perempuan akan berlaku situasi yang kita tidak ingini,” ujarnya.

Wan Sukairi berucap pada majlis berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutup Program Kursus Instruktur Kecergasan Senamrobik Tahap 1 (Asas) di Kompleks Rakan Muda Kemaman, di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT), Mohd Soufi Mohd Ibrahim serta ketua-ketua agensi yang terlibat.

Wan Sukairi juga bercadang untuk mengadakan satu program Fit Sunnah di setiap daerah selepas ini dengan menggunakan jurulatih yang dilahirkan daripada kursus kejurulatihan itu.

Tambahnya, Program Fit Sunnah itu bakal menjadikan jurulatih lepasan kursus berkenaan lebih berpengalaman dan bersedia untuk memimpin program berlandaskan hukum syarak.

“Pengajar yang lahir daripada program ini akan dihantar terus untuk mengendalikan program-program pada masa akan datang seperti Fit Sunnah.

“Jadi sudah tentu mereka akan lagi terlatih dan berpengalaman apabila mengendalikan program secara terus (praktikal), tidak hanya tamat selepas kursus ini,” tambah beliau.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: