Monday, 15 April 2019

Terengganu Jadikan Rakyat Rakan Kongsi

SHARE


Oleh: Aslam Wira

MARANG, 15 April - Kerajaan negeri menjadikan rakyat sebagai rakan kongsi dengan mendengar pandangan mereka dalam banyak pertemuan ke arah merealisasikan Terengganu negeri maju, berkat dan sejahtera.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Yahaya Ali berkata, rakyat adalah penilai terbaik bagi tiga kerajaan yang berbeza termasuk kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) khususnya di Pahang, Perlis, Terengganu dan Kelantan.

"Di negeri-negeri berkenaan rakyat boleh menilai bagaimana parti-parti tersebut memerintah dan parti manakah yang lebih baik mentadbir negeri supaya di masa akan datang mereka lebih berhati-hati untuk memilih parti pemerintah," ujarnya.


Beliau berkata demikian di majlis dialog bersama rombongan dari Pusat Pengajian Al-Quran Al-Hasani, Negeri Sembilan dan Peserta Bakti Siswa dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak di Dewan Banat Maahad Darul Quran Rusila, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Mohamad Embong, Setiausaha Majlis Tindakan DUN Rhu Rendang, Wan Nelang Abd Rahman dan Penyelia Pusat Khidmat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng.

Menurut Yahaya, sebelum pembentangan bajet 2019 baru-baru ini, kerajaan negeri telah mengadakan sesi dialog ke seluruh negeri dan negara  untuk mendapat pandangan dari rakyat Terengganu mengenai perbelanjaan yang diperlukan rakyat.

"Sewaktu perangkaan bajet dahulu, sesi jelajah ke setiap daerah, zon dan negeri-negeri telah diadakan bagi melihat apa yang rakyat mahukan atau pun pandangan mereka sebagai maklumat bermanfaat untuk bajet yang sedang dirancang mahupun yang telah diluluskan.

"Jadi inilah apa yang kita maksudkan sebagai rakan kongsi," jelasnya.

Katanya, ini semua adalah usaha kerajaan negeri untuk memberi kemudahan kepada rakyat dan menjadikan rakyat sebagai rakan kongsi, bukan satu entiti yang terpisah dari kerajaan.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: