Monday, 1 April 2019

TATiUC Terengganu Tawar Biasiswa RM 3.1 Juta

SHARE

KUALA TERENGGANU, 1 April - TATI University College (TATiUC), Kemaman menawarkan Biasiswa Terengganu Sejahtera berjumlah RM3.1 juta kepada pelajar baharu bagi kemasukan Mei dan September tahun ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya menjangkakan seramai 1,100 pelajar Sarjana, Ijazah Sarjana Muda, Diploma dan Asasi berpeluang menikmati keistimewaan yang pertama kali ditawarkan itu.

Katanya, nilai biasiswa bagi setiap pelajar yang layak adalah berjumlah RM11,045 sepanjang pengajian meliputi yuran pengajian dan penginapan kolej kediaman.

“Seramai 100 pelajar terawal turut ditawarkan elaun sara hidup sebanyak RM323 sebulan,” katanya kepada sidang media selepas Majlis Pelancaran Biasiswa Terengganu Sejahtera di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Hadir sama, Rektor Tatiuc, Profesor Dr Anuar  Ahmad.

Katanya, keistimewaan lain, TATiUC turut menyediakan elaun sara hidup kepada pelajar-pelajar Ijazah Sarjana Muda  RM250 sebulan atau bersamaan RM8,000 sepanjang pengajian manakala pelajar Diploma dengan bayaran RM200 sebulan atau RM4,800 sepanjang pengajian.

“Pengurangan yuran pengajian sekiranya pelajar berupaya tampil cemerlang dalam bidang yang diceburi.

“Oleh itu, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia disaran merebut peluang itu,” katanya.

Sementara itu, Dr Anuar berkata, pihaknya komited dalam membangunkan potensi anak-anak pelajar.

Katanya, mereka terutamanya yang datang daripada keluarga golongan asnaf dan berpendapatan rendah sewajarnya merebut peluang itu.

"Bukan mudah untuk mencari pusat pengajian yang menawarkan biasiswa.

“Diakui banyak pihak,  pelajar lepasan TATiUC laris di pasaran industri di mana hampir 60 hingga 80 pelajar berjaya memperoleh kerja selepas enam bulan menamatkan sesi pembelajaran,” katanya.

TATiUC menawarkan tiga program Sarjana, 10 program Ijazah Sarjana Muda, 13 program Diploma dan dua program Asasi dalam pelbagai bidang.

Antaranya kejuruteraan, teknologi maklumat. pembuatan, automasi, elektrikal, ujian tanpa musnah, kimia, polimer, komputer, pengurusan teknologi dan media grafik.

Maklumat lanjut berhubung syarat kelayakan dan tawaran Biasiswa Terengganu Sejahtera boleh hubungi 09 860 1130 atau layari www.tatiuc.edu.my.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: