Thursday, 18 April 2019

Tanaman Kontan Jadi Pilihan Anak Muda

SHARE

Oleh : Hidayah Azlin
Foto : Abd Muhaimin Muhammed


SETIU, 18 April –  Pelan hala tuju pertanian Negeri Terengganu tahun 2019-2023 memberi fokus kepada pertanian tanaman kontan yang menghasilkan makanan khususnya melibatkan generasi muda.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, ramai anak muda masa kini gemar melakukan perusahaan yang cepat membuahkan hasil kurang daripada setahun seperti jagung, ubi kayu dan ubi keledek.

“Antaranya adalah dengan tanaman kontan. Kebiasaan tanaman kontan ini kitarannya 3 kali setahun produk dapat dikeluarkan.

"Dulu bila kita sebut program pertanian, biasanya orang 50an yang hadir. Sekarang ini anak muda 20an dan 30an turut hadir dan mereka mula melihat pertanian ini satu kerjaya yang boleh dijadikan satu sumber pendapatan jaminan masa depan. Bukan lagi bidang orang yang gagal, mestilah masuk pertanian,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan di Program Penerangan dan Soal Jawab bersama Exco di Laman Sri Sepuluh, di sini, semalam.

Dr. Azman berkata, sepanjang program turun padang berdialog dengan masyarakat petani, penternak dan nelayan, golongan anak muda semakin memberi respon positif.






“Setiu, Besut, Hulu Terengganu antara tempat yang masih banyak tanah kerajaan untuk kita majukan. Tempat-tempat lain dah terlalu padat dan lebih fokus kepada penempatan.

“Setiu antara fokus untuk dijadikan satu daerah pertanian kerana dalam banyak-banyak daerah, Setiu yang paling ketinggalan dan kita tidak boleh berlawan dengan daerah lain menjadi daerah industri macam Kemaman,’’ katanya.

Malah, katanya kemajuan daerah lain kerana terdapat faktor yang saling berkaitan termasuk kedudukan geografi, terdapat kemudahan pelabuhan dan pusat pentadbiran, bagaimanapun di Setiu perlu dimajukan dengan cara tersendiri, tanpa menjadi suatu ikut-ikutan.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: